
KUALA LUMPUR - Prosedur operasi standard (SOP) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hampir selesai dan akan dibentangkan kepada pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dimuktamadkan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, SOP bagi PRN Johor agak berbeza susulan gelombang Omicron yang sudah bermula di negara ini.
“Tapi apa kita tahu, SOP PRN Melaka berjaya, tidak ada spike (peningkatan). SOP PRN Sarawak pun berjaya tidak ada spike.
“SOP PRN Johor lain sikit sebab datang sekali dengan Omicron. Untuk kata tak ada peningkatan, saya tidak akan kata begitu kerana terdapat lonjakan (kes) Omicron,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) di Hospital Tunku Azizah, hari ini.
Jelas beliau lagi, SOP tersebut akan mengambil kira dari segi keseriusan kes dan jumlah kemasukan ke hospital.
“Namun apa kita akan lihat di Johor ialah dari segi keseriusan kes, kemasukan ke hospital tidak meningkat dengan mendadak tapi akan ada juga peningkatan kes,” katanya.
Ditanya mengenai permintaan sesetengah pihak untuk membenarkan ‘walkabout’ pada PRN Johor, Khairy berkata, perkara itu masih dalam perbincangan.
“Kita masih lagi sedang berbincang di peringkat dalaman KKM tentang penilaian risiko tapi saya rasa hampir muktamad dari segi SOP,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, mencadangkan kepada KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya melonggarkan SOP untuk calon yang bakal bertanding pada PRN Johor.
Antara kelonggaran yang dicadangkan ialah membenarkan aktiviti ‘walkabout’ supaya calon dapat bertemu pengundi terutamanya pengundi muda yang didaftarkan secara automatik menerusi pelaksanaan Undi 18. - Getaran, 3 Februari 2022
