'Payung Emas' Untuk Wanita Izin Suami Berpoligami Hadis Palsu

1 Feb 2022 • 8:54 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Tiada istilah payung emas sebagai ganjaran kepada wanita yang mengizinkan suaminya untuk berpoligami.

Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, 'ganjaran' sering disebut-sebut itu adalah hadis palsu.

“Tidak ada payung emas mahupun free gift payung. Ia hadis palsu.

“Jika seorang wanita solat lima waktu, puasa Ramadan, pelihara kemaluan dan taat kepada suaminya, Nabi kata masuklah ke syurga melalui pintu yang dikehendaki,” katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.

Zulkifli berkata demikan bagi menjawab pertanyaan seorang netizen yang meminta beliau menjelaskan secara terperinci mengenai dakwaan isteri yang menentang poligami akan masuk ke neraka kerana ia bertentangan sunnah Rasulullah.

Katanya, hukum atas sesuatu berdasarkan zahir sama ada sunnah atau tidak, perlu melihat kepada maslahat perkara itu.

“Begitu juga dengan poligami. Terkadang ia menjadi perlu dan terkadang tidak perlu, bahkan boleh jadi menzalimi.

“Hukum berpoligami itu sendiri boleh jadi harus, sunat dan haram,” katanya.

Justeru beliau berkata, tidak menjadi kesalahan bagi isteri untuk mempertikaikan keputusan suaminya untuk berpoligami dan melarang tindakan itu atas sebab keperluan.

“Berbincang dengan baik, beri nasihat dan pandangan demi mengelakkan daripada berlakunya kezaliman serta penindasan terhadap hak isteri dan anak-anak.

“Sikap sebagai Muslim adalah kita tak menentang sebarang syariat Allah yang pasti ada keperluan dan hikmah dalam keadaan tertentu. Kita cuma menolak sikap menggunakan agama untuk kepentingan individu lantas mengabaikan hak lain,” katanya. 

Penjelasan itu mendapat lebih 5,000 ulang kicau dan 5,185 tanda suka dalam kalangan netizen.

Malah ada di antara mereka terkejut mengenai istilah payung emas.

“Palsu rupanya payung emas tu,” kata Tp_Ldr.

“Hahaha, free gift payung. Kelakarlah ustaz. Terhibur kejap saya,” kata InfernoBurst. - Getaran, 1 Februari 2022