
Kota Kinabalu: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar menyokong penuh cadangan Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk membuka semula pintu sempadan antarabangsa negara seawal 1 Mac tanpa perlu kuarantin wajib.
Bagaimanapun, Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata pembukaan semula itu perlu diikuti dengan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat bagi mengekang penularan varian Omicron di negara ini.
“Pembukaan sempadan negara perlu dilakukan secepat mungkin memandangkan Sabah memerlukan pasaran antarabangsa untuk memulihkan sektor pelancongan,” katanya, dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, pemain industri juga perlu diperincikan dengan lebih jelas mengenai SOP yang lebih ketat agar mereka lebih bersedia sebelum pembukaan sempadan.
“Kementerian bersedia untuk mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak termasuk pemain industri, termasuk merangka kempen promosi dan pemasaran bagi memastikan pelancong luar negara menjadikan Sabah sebagai destinasi pilihan utama mereka.”
Sementara itu, Jafry berkata pelancong luar yang mahu ke Sabah disarankan untuk mengambil pelan perlindungan insurans untuk pelancong yang meliputi kos perubatan dan kemasukan ke hospital akibat kemalangan dan penyakit termasuk jangkitan Covid-19.
“Matlamat sekarang ini adalah membuka sempadan agar industri pelancongan akan terus hidup dan pada masa sama memastikan agar penularan Covid-19 dapat dikawal,” katanya.
Ketika ini, kerajaan negeri hanya membenarkan aktiviti pelancongan domestik sahaja, manakala Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin Malaysia- Singapura (VTL) juga masih di peringkat perbincangan dan belum dilaksanakan di negeri ini.
“Kita perlu berganding bahu dan bekerjasama sebagai satu pasukan demi mencapai matlamat memulihkan industri pelancongan dan kembali menjadi antara penyumbang utama ekonomi di negeri ini,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


