
SEPANG, 27 FEB: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menanam lebih sejuta anak pokok pelbagai spesies di seluruh kawasan pentadbirannya sejak 2008 hingga Januari tahun ini.
Yang Dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain berkata inisiatif bersama pemaju membuktikan komitmen pihak berkuasa tempatan (PBT) itu untuk mewujudkan bandar rendah karbon menjelang 2030.
“Sejak 2008, Kerajaan Selangor mengadakan kempen menanam pokok dan menyasarkan sebanyak 50,000 pokok ditanam setiap tahun oleh PBT.
“Usaha meningkatkan jumlah tanaman pokok akan diteruskan bagi mencapai hasrat berkenaan,” katanya ketika ditemui pada program penanaman pokok bakau di Sungai Sepang Besar, Pantai Pasir Putih di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata kaedah penyelenggaran terbaik digunakan untuk memelihara dan memulihara pokok di seluruh kawasan di daerah berkenaan.
“Pokok ini perlu dihargai kerana tumbuhan akan mengindahkan dan meningkatkan nilai estetik sesuatu kawasan.
“Di sisi lain pula, pokok memberi teduhan selain mengurangkan pencemaran udara dan bunyi termasuk agen penyerap karbon. Justeru kita kena imbangi pembangunan fizikal dan alam sekitar,” katanya lagi.

The post Sejuta anak pokok ditanam sekitar Sepang, imbangi pembangunan fizikal appeared first on Selangorkini.
