KDN Perlu Rayu Keputusan Kes 'Buku Gay'

LocalPolitics
25 Feb 2022 • 8:50 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan perintah larangan ke atas buku Gay is Okay! A Christian Perspective’.

Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, pihaknya menganggap keputusan itu boleh mencetuskan suasana tidak harmoni terhadap masyarakat di negara ini dan situasi berkenaan perlu dielakkan.

image is not available
Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri

Katanya, buku terbabit secara jelas tidak sesuai untuk orang Islam dan tidak melambangkan masyarakat Malaysia yang penuh adab.

“Budaya gay adalah budaya yang bukan sahaja tidak beradab, tetapi pada masa sama mendatangkan masalah kesihatan teruk terhadap pelakunya.

“MPPK percaya kerajaan akan mengambil tindakan proaktif dalam memastikan keharmonian Keluarga Malaysia kekal terjaga,” katanya menerusi kenyataan.

Pada Selasa lalu, penerbit dan penulis buku Gay is Okay! A Christian Perspective' berjaya membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri yang mengharamkan buku itu dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin dalam keputusannya, membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan penulis buku terbabit, Ngeo Boon Lin dan penerbitnya, Chong Ton Sin.

Perintah larangan ke atas buku itu dikeluarkan Menteri Dalam Negeri pada 27 November 2020 mengikut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dengan alasan kandungannya yang mungkin memudaratkan ketenteraman, moral dan kepentingan awam. - Getaran, 25 Februari 2022