
BEKALAN air ke beberapa bahagian Likas mengalami gangguan hampir seminggu ekoran kerosakan pada saluran agihan utama dekat simpang Jalan Tuaran-Jalan Pasir.
Jurucakap Jabatan Air berkata, jurutekniknya datang ke kawasan itu pada Jumaat, sejurus agensi terbabit menyedari tentang kebocoran berkenaan.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati air meresap dari bawah tanah dan melimpah ke jalan raya,” katanya.
“Dua mesin jengkaut kemudian dihantar untuk membantu dalam usaha mengenal pasti paip bocor yang disyaki kakitangan kami mungkin terletak di bawah pembahagi di Jalan Tuaran.”
Menjelang Selasa, mereka masih belum dapat mengesan bahagian saluran pengagihan yang terjejas, menurutnya.
Katanya, keadaan ini mengakibatkan tekanan air rendah di kawasan kediaman dan komersial di sekitar Likas.
Jurucakap itu berkata, beberapa pengguna termasuk di Jalan Basel, Lorong Pasir Kecil dan Lorong Juta, berhari-hari terputus bekalan air disebabkan masalah yang tidak dijangka berkenaan. AIR yang membasahi bahagian Jalan Tuaran, dekat Plaza Juta, memberikan isyarat kepada jabatan itu ada sesuatu yang rosak di bahagian jalan di Likas ini.
“Sejak itu kami melencongkan bekalan air ke kawasan ini untuk cuba mengurangkan masalah air dihadapi.
“Selain itu, kami sedang membuat sambungan untuk memintas paip yang bermasalah.”
ESTY dari Inanam ingin tahu mengenai tompok basah yang dilihatnya di satu bahagian Jalan Tuaran dekat lampu isyarat di sebelah Plaza Juta di Likas.
Katanya, dia mendapati bahagian basah di kawasan itu selama beberapa hari semasa pulang dari pejabatnya di bandaraya.
“Cecair jernih mengalir ke atas permukaan jalan raya,” katanya.
“Saya percaya ini bukan efluen kerana tiada bau busuk yang datang dari arah cecair itu.”
Katanya, ia merupakan satu kecuaian teruk apabila melihat bekalan air terbazir seperti itu.
“Saya tidak faham bagaimana mereka yang bekerja di kawasan itu boleh membiarkan sahaja pembaziran ini.”
Esty berkongsilkan pemerhatiannya itu dengan rakan yang tinggal di kuarters kerajaan, bertentangan dengan Masjid Bandaraya, di bahagian Likas ini.
“Dia memberitahu saya bekalan air terjejas sejak beberapa hari lalu.
“Mereka yang tinggal di kuarters itu hanya mendapat bekalan air selama beberapa jam sebelum subuh, dan selepas itu paip kering sepanjang masa.”
Bekalan air tidak menentu itu nampaknya merosakkan pam air untuk bangunan itu, menurutnya.
“Rakan saya berpendapat pam itu mungkin rosak kerana beberapa kali perlu menarik masuk udara dan bukannya air.
“Saya tertanya-tanya sama ada masalah air itu ada kaitan dengan tompokan basah di jalan utama.”
BEAN dari Likas pula tidak berpuas hati dengan tekanan air paip lemah yang diterimanya dan jirannya di Jalan Basel selama hampir seminggu.
“Salah satu daripada tangki air saya kosong dan rizab air di dalam sebuah lagi hampir habis,” katanya.
“Saya memerlukan bekalan air lebih baik untuk memandikan dua anak perempuan kecil saya dan mencuci pakaian mereka.”
Katanya, terdapat banyak kejadian, sejak kebelakangan ini, apabila dia menghidupkan pili air tetapi hanya ada bunyi udara bergerak melaluinya.
Bean mengeluh tentang kualiti air kurang baik selepas bekalan dipulihkan. SEORANG kakitangan jabatan itu cuba mengenal pasti sumber paip bocor di bahu jalan di Jalan Tuaran.
“Air keruh yang diterima mengingatkan saya kepada air milo. Pada masa lain, ia menyerupai Teh-O-Pok.”
Katanya, menerima air seperti itu melalui penapis tidak membantu menghilangkan kekotoran ini.
Esty memberikan Hotline lokasi kuarters itu, manakala Bean melakukan perkara sama untuk rumahnya. Maklumat ini kemudian dikemukakan kepada jabatan itu.
Jurucakap itu berkata kakitangannya perlu menentusahkan dakwaan mengenai kualiti air di kawasan Jalan Basel.
“Mereka akan memeriksa saluran agihan di sepanjang jalan perumahan itu untuk menentukan sama ada paip berkenaan tersumbat,” katanya.
“Kami juga perlu memastikan kenapa kualiti bekalan air penduduk semakin teruk dari semasa ke semasa.”
Jika ia terbukti perlu, katanya, agensi itu akan mengatur untuk membersihkan paip tersebut.
“Tindakan ini sepatutnya dapat menghilangkan kebanyakan, jika tidak semua, sedimen yang mungkin telah mendap di bahagian dalam saluran air utama.”
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
