Esscom siasat dakwaan

4 Feb 2022 • 3:29 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

LAHAD DATU: Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sedang menyiasat dakwaan lebih 10 lelaki bersenjata dipercayai warga Filipina menyusup masuk ke Lahad Datu di sini melalui perairan Tambisan.

Komander Esscom DCP Hamzah Ahmad ketika dihubungi Bernama berkata laporan itu masih dalam siasatan.

“Ketika ini keadaan di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) baik dan terkawal,” katanya ringkas melalui aplikasi Whatsapp pada Khamis.

Menurut sumber, Bernama difahamkan seorang lelaki mendakwa melihat lebih 10 individu mencurigakan berpakaian celoreng serta bersenjata masuk ke Sabah melalui perairan Long Patau, Tambisan pada minggu lepas.

Lelaki berkenaan juga mendakwa kesemua individu itu dipercayai warga Filipina berdasarkan perbualan menggunakan bahasa Suluk.

Sementara itu di PASIR MAS, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali berkata tahap keselamatan di pantai timur Sabah akan dipertingkatkan termasuk menggerakkan satu pasukan komando Unit Tindakan Khas (UTK) bagi menangani isu berkaitan kumpulan Abu Sayyaf.

Menurut Hazani, tindakan itu bagi menunjukkan kehadiran anggota keselamatan di kawasan berkenaan termasuk di sempadan Sabah-Kalimantan.

“Walaupun lebih dua tahun tidak berlakunya kes-kes penculikan khususnya di pantai timur Sabah tetapi kawalan keselamatan tetap dilaksanakan.

“Hal ini juga berikutan maklumat mengenai sub ketua kumpulan Abu Sayyaf yang juga pakar pembuat bom iaitu Mudzrimar atau Mundi Sawadjaan disahkan masih hidup, jadi kawalan akan diperketatkan dan pihak keselamatan akan sentiasa mendapatkan maklumat daripada Western Mindanao Command (J2 Westmincom),” katanya kepada pemberita selepas Program ‘Tangan Bersalaman’ di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Hazani berkata status Mudzrimar yang dikehendaki di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), disahkan hasil perkongsian maklumat daripada pasukan keselamatan Filipina melibatkan Joint Task Force Sulu (JTFS) serta J2 Westmincom kerana terbabit dalam beberapa siri pertempuran dan pertembungan dengan pasukan keselamatan Filipina sejak Julai 2021.

Berdasarkan makkumat risikan, kali terakhir dia dilihat adalah pada 10 Januari lepas di sebuah kawasan di Sulu ketika keluar mengambil makanan.

Sementara itu, mengulas mengenai kawalan sempadan darat di sempadan Malaysia-Thailand, Hazani berkata Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akan ditempatkan di Kelantan pada Mac nanti.

“Ketika ini, proses tinjauan sedang dilakukan di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand bagi mengenal pasti bentuk muka bumi, kawasan rondaan serta kawasan sering berlakunya penyeludupan.

“Kita juga sedang meninjau lokasi sesuai untuk menempatkan kuda-kuda ini sama ada di Pengkalan Kubor, Tumpat atau Rantau Panjang,” katanya.

Beliau berkata dengan adanya bantuan daripada Unit Berkuda FRU itu ia mampu meningkatkan lagi kawalan di sepanjang Sungai Golok serta keberkesanan dalam menangani kes penyeludupan.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.