Lenovo IdeaPad Gaming 3 Dikemaskini Dengan Pilihan CPU AMD Dan Intel Terbaru

TechnologyDigital
28 Feb 2022 • 5:33 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Siri komputer riba gaming Lenovo IdeaPad secara lazimnya dilihat sebagai siri komputer riba gaming yang hadir dengan spesifikasi gaming mampu milik sesuai digunakan oleh mereka yang baru mahu memasuki hobi gaming, ataupun mereka yang mahukan sebuah peranti yang boleh digunakan untuk tujuan produktiviti dan riadah dengan baik.

Terkini, Lenovo dilihat telah mengemaskini siri komputer riba tersebut, yang terdiri daripada Lenovo IdeaPad Gaming 3i dan juga IdeaPad Gaming 3 dengan penawaran siri CPU terbaru daripada AMD dan juga Intel.

image is not available

Bermula dengan saiz paparan, IdeaPad Gaming 3 dan IdeaPad Gaming 3i hadir dengan pilihan paparan IPS bersaiz 15.6 inci dan 16 inci dengan resolusi Full HD ataupun WQHD untuk paparan lebih kecil, manakala paparan besar mempunyai resolusi WQHD+ (2560×1600) dengan kesemua pilihan paparan ini hadir dengan kadar segar semula 165Hz.

Kedua-dua komputer riba ini juga hadir dengan pilihan untuk menggunakan CPU AMD Ryzen 6000 (sehingga AMD Ryzen 7 6800H) dan juga Intel Alder Lake (sehingga Intel Core i7-12700H) terbaru, dengan pilihan memori sehingga 32GB dan storan SSD NVMe PCIe sebesar 1TB.

image is not available

Model IdeaPad Gaming 3i hadir dengan pilihan GPU sehingga NVIDIA GeForce RTX 3060, ataupun kad grafik Intel pertama, iaitu Intel Arc Alchemist, bergantung kepada pilihan dan juga kehendak pengguna.

Untuk model IdeaPad Gaming 3 pula, model ini dilihat hadir dengan pilihan sehingga NVIDIA GeForce RTX 3050TI untuk menggerakkan permainan-permainan komputer terbaru pada resolusi Full HD tanpa masalah.

image is not available

Komputer riba ini turut dimuatkan dengan sistem penyejukan yang diperbaharui. Selain daripada penggunaan kipas lebih besar, komputer riba ini juga hadir dengan tetingkap udara yang lebih banyak yang membolehkan udara panas dialirkan keluar daripada komponen-komponen dengan lebih cekap.

Untuk kedua-dua komputer riba ini, ia hadir dengan sokongan sambungan nirwayar Bluetooth 5.1 dan WiFi 6 manakala untuk model Intel, ia juga akan hadir dengan sokongan Thunderbolt 4, manakala untuk model AMD ia akan tiba dengan sokongan USB 3.2 Type-C.

Bagi mereka yang lebih menyukai rekaan dan warna yang tidak begitu menyerlah, Lenovo IdeaPad Gaming 3 dan Gaming 3i ini juga ditawarkan dalam warna Glacier White dan Onyx Grey.

image is not available

Menurut Lenovo, siri komputer riba IdeaPad Gaming 3 ini juga akan ditawarkan di pasaran-pasaran tertentu bermula bulan Mei 2022 sehingga Julai 2022 ini bergantung kepada model dan juga spesifikasi CPU yang tertentu.