Tuah Adzmi Terpaksa Jual Kereta, Kerja Di Kilang Al-Quran

3 Feb 2022 • 4:42 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Tidak dinafikan ramai yang terkesan tatkala seluruh dunia dilanda pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu. Tidak terkecuali dengan peserta Big Stage 2022 iaitu Tuah Adzmi yang turut terjejas dari segi pendapatan. 

Menurut Tuah atau nama sebenarnya Arumi Nafis bin Mohd Adzmi ,23, dia terpaksa menjual kereta kesayangannya iaitu Mini Cooper dengan harga RM18,000 kerana terputus punca pendapatan sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama. 

“Enam bulan pertama PKP tu masih okay. Tetapi bila dah hampir setahun, duit simpanan pun hampir berkurang. Tawaran menyanyi memang tidak ada langsung. Jadi saya terpaksa jual kereta untuk teruskan hidup. 

Duit hasil saya jual kereta itu saya jadikan modal untuk berniaga Roti John sewaktu bulan Ramadan. Baru-baru ini saya ada keluarkan T-Shirt. Tetapi tidak menjadi kerana mungkin waktu tidak sesuai kerana orang masih tidak boleh keluar rumah dan bekerja waktu itu. Jadi orang lebih suka membeli makanan,” katanya. 

        View this post on Instagram                      

A post shared by Tuah Adzmi (@officialtuah)

Sebagai seorang anak tunggal yang dibesarkan oleh ibu tunggal, Tuah sudah terbiasa melakukan kerja-kerja berat sejak dari kecil untuk membantu ibunya. Malah dia pernah bekerja sebagai buruh sewaktu berusia 16 tahun. Menyedari tawaran menyanyi hampir sukar diterima, Tuah nekad untuk mencari kerja lain dan tidak malu untuk bekerja di kilang. 

“Baru-baru ini saya telah bekerja di sebuah kilang yang menghasilkan Al-Quran. Sudah empat bulan saya bekerja di sana. Saya bekerja sebagai pembantu stor dimana tugas saya adalah di bahagian pembungkusan.,” kongsinya.

Ditanya adakah dia pernah putus asa dengan kerjaya nyanyian sehingga membulatkan hati untuk bekerja di kilang, kata Tuah dia pernah terfikir untuk melupakan bidang nyanyian.

“Sejujurnya memang pernah. Saya sudah berada dalam industri muzik selama empat tahun. Pada ketika saya rasa saya baru sahaja nak sampai ke tahap yang saya mahukan, tiba-tiba saya terjatuh. Semuanya gara-gara PKP. Memang saya jatuh terduduk. Ketika itu saya masih mengharapkan akan ada tawaran menyanyi. Saya tunggu selama setahun, tetapi masih tiada tawaran. Saya memang rasa ‘down’ ketika itu sampai saya rasa saya sudah tidak mahu menjadi penyanyi, saya hanya mahu menjadi orang biasa. Jadi saya mula cari kerja lain,” luahnya.

Disebabkan Tuah terlibat dengan Big Stage yang bakal bermula Ahad ini, dia mengambil cuti sementara dari kilang tempat dia bekerja.

        View this post on Instagram                      

A post shared by Tuah Adzmi (@officialtuah)

Bercerita dengan lebih lanjut mengenai pembabitannya dalam Big Stage 2022, kata Tuah sudah tiga kali dia mencuba nasib, tetapi baru kali ini dirinya diterima untuk beraksi di pentas yang menjadi idaman setiap BBNU ini.

“Saya agak teruja dan gementar sebenarnya sebab sudah tiga kali saya cuba tetapi baru kali ini diterima. Alhamdulillah, setiap kali saya tak dapat, saya akan memperbaiki diri supaya menjadi lebih baik. 

Saya sudah menonton Big Stage dari musim pertama lagi malah pernah pergi ke studio untuk memberi sokongan pada rakan saya. Saya pernah membayangkan diri saya berada di atas pentas Big Stage dan sejak dari hari itu saya tanam impian untuk saya berada di atas pentas Big Stage satu hari nanti. Alhamdulillah tahun ini saya dapat merasa,” ujarnya. 

Tahniah diucapkan kepada Tuah. Semoga keikhlasan Tuah dalam mencari rezeki dan membantu ibu dapat ganjaran yang berlipat kali ganda. Selamat beraksi di pentas Big Stage 2022! - Getaran, 4 Februari 2022. 

Foto : Instagram Tuah Adzmi




 

View Original Article