Penganggur didakwa edar 7kg syabu

23 Feb 2022 • 12:21 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, pada Selasa atas pertuduhan mengedar 7,174 gram syabu.

Kong Jian Wei, 37, didakwa melakukan kesalahan itu pukul 2.45 petang pada 26 Januari tahun ini di tepi jalan di Lorong Ranggung Batek, Likas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Kong, yang hadir di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles, melalui persidangan video.

Pertuduhan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu, membawa hukuman sama ada hukuman mati atau penjara seumur hidup dan minimum 15 kali sebatan.

Pendakwaan memohon tarikh sebutan baharu sementara menunggu laporan kimia dan membantah jaminan kerana pertuduhan tidak memperuntukkan ikat jamin.

Lovely menetapkan 7 April untuk sebutan dan memerintahkan Kong direman lanjut.

Kong tidak diwakili.

Sementara itu, seorang pembantu kedai didenda RM700 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda kerana melakukan gaduh gempar di tempat awam.

Gabriel Yap, 22, menukar pengakuannya kepada bersalah kerana bergaduh dengan seorang lagi tertuduh Sherillin Adrino, 25, yang didakwa bersamanya pukul 3 pagi pada 16 November 2021 di hadapan sebuah kafe di Penampang.

Kes kedua-duanya disebut pada Selasa dengan Yap mengaku bersalah manakala Sherilin mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya dan menyaksikan kesnya dibicarakan pada 5 Mei.

Terdahulu, Inspektor Kelvan Elson Maik, yang mengendalikan pendakwaan, ketika mengemukakan fakta kes untuk Yap, memberitahu mahkamah kejadian itu berlaku ketika kedua-dua Yap dan seorang lagi tertuduh dalam keadaan mabuk dan mereka bertemu untuk menyelesaikan masalah berhubung isu kereta sebelum pergaduhan berlaku di antara mereka.

Yap yang tidak diwakili, merayu hukuman ringan manakala Kelvan memohon hukuman setimpal.

Pertuduhan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.