
Tuaran: Seorang peniaga rakyat Pakistan didenda RM3,800 oleh Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan tidak memakai pelitup muka di kedai perniagaannya di sini, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tahun lepas.
Inayatullah Shahinshah, 22, mengaku bersalah di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun kerana melakukan kesalahan itu pada dua waktu berasingan di Inayahtullah Baba Enterprise pada 2021.
Inayatullah diperintah membayar denda RM800 atau penjara dua minggu kerana melakukan kesalahan itu pukul 3.15 petang, pada 7 Februari 2021.
Dia didenda RM3,000 lagi atau penjara dua bulan kerana melakukan kesalahan sama buat kali kedua pukul 12.30 tengah hari, pada 8 Jun tahun sama.
Pertuduhan pertama di bawah Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 membawa hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, manakala pertuduhan kedua memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tidak diwakili, Inayatullah merayu denda yang lebih rendah dengan mengatakan dia mempunyai tanggungan dan perniagaannya tidak memberangsangkan.
Pegawai Pendakwa Jabatan Kesihatan Tuaran, Delentine J. Lacius meminta agar hukuman pencegahan dijatuhkan sebagai pengajaran kepada Inayataullah dan peringatan kepada orang ramai.
Inayatullah pernah melakukan kesalahan serupa dua kali, yang menunjukkan dia tidak menyesal dengan tindakannya itu, kata Delentine.
Delentine memberitahu mahkamah bahawa Inayatullah pada awalnya sudah dikompaun oleh pihak berkuasa kesihatan tetapi dia mengabaikan undang-undang walaupun dia diingatkan untuk membayarnya mengikut masa.
Tambah Delentine, premis itu berdekatan dengan kawasan tumpuan awam iaitu Resort Rasa Ria.
Inayatullah membayar denda itu.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


