Ramai Ibu Hamil Dapat Jangkitan COVID-19 Kategori Serius

13 Feb 2022 • 5:09 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Kes COVID-19 bagi kategori serius 3, 4 dan 5 di kalangan ibu hamil semakin menunjukkan peningkatan.

Pakar Perunding Perubatan dan Pakar Nefrologi Hospital Putrajaya, Dr Rafidah Abdullah berkata, trend peningkatan itu turut dilihat berlaku di tempat beliau bertugas.

Katanya, kebanyakan kes disebabkan ramai ibu hamil tidak lengkap divaksinasi termasuk belum mengambil suntikan dos penggalak COVID-19.

image is not available
Dr Rafidah Abdullah

“Di lokaliti saya bekerja, nampak lebih ramai ibu mengandung jangkitan COVID-19 kategori 3 ke atas.

“Ramai yang tidak lengkap vaksinasi, tanpa dos penggalak. Harap Kementerian Kesihatan (KKM) akan keluarkan pecahan peratusan ibu mengandung dalam statistik harian,” katanya menerusi satu ciapan di Twitter, hari ini.

Justeru beliau menasihati ibu hamil supaya mengambil suntikan dos penggalak dengan segera untuk mengelak jangkitan serius.

“Untuk ibu mengandung, tolong ambil booster secepat mungkin. Tak booster, risiko tinggi,” katanya.

Terdahulu, Penasihat Kesihatan Wanita dan Kehamilan MedtweetMY, Dr Muhammad Izzat Abdul Razak turut menggalakkan ibu hamil supaya mengambil dos penggalak berikutan kemunculan pelbagai varian baharu COVID-19 termasuk Omicron.

Katanya, vaksin tersebut selamat diambil pada semua trimester kehamilan.

Menurut KKM, pesakit COVID-19 boleh dikategorikan kepada kategori 1 hingga 5.

Kategori 1 bagi pesakit tidak bergejala, kategori 2 yang mempunyai gejala tanpa radang paru-paru.

Bagi kategori 3, pesakit ada gejala dan jangkitan kuman dalam paru-paru atau pneumonia.

Kategori 4 pula pesakit menghidap pneumonia teruk dan memerlukan oksigen manakala kategori 5, pesakit kritikal dengan pelbagai komplikasi organ.

Kebiasaan pesakit yang dirujuk ke unit rawatan rapi (ICU) adalah kategori 4 atau 5, iaitu keperluan oksigen mereka lebih daripada biasa dan memerlukan pemantauan lebih rapi. - Getaran, 13 Februari 2022