Kebiasaannya di Malaysia, kalau makan tengahari mesti kita mencari nasi campur kan? Kadang-kadang saja selera kita berubah mencari makanan Western atau lain-lain tetapi sebagai seorang rakyat Malaysia dan seorang Melayu, selera makan tengahari beraneka lauk pauk memang akan tetap menjadi pilihan utama saya. Lebih sedap lagi apabila nasi campur tersebut diselitkan dengan ulam-ulaman. Ada ulam-ulaman yang wangi dan sedap, ada pula yang kuat baunya tetapi walaupun ulam-ulaman ini sedikit berbeza dari segi tekstur dan rasa, apa yang penting ialah ulam-ulaman adalah sejenis makanan yang berkhasiat untuk tubuh badan kita.
Ulam adalah sejenis sayuran yang dimakan mentah, atau kadang kala dicelur air panas seketika sebelum dimakan. Ulam tak perlu dimasak. Mungkin disebabkan ia tidak dimasaklah, kandungan zat dan khasiat didalamnya masih tersimpan dan memberi khasiat kepada kita.
Apakah jenis ulam-ulaman yang digemari rakyat Malaysia?
- Ulam raja

Ulam raja, atau nama saintifiknya Cosmos caudatus adalah sejenis tumbuhan dari genus Cosmos. Ia bukan sahaja tumbuhan berdaun tetapi ada juga bunga yang berwarna ungu, merah jambu atau putih. Tumbuhan ini asalnya dari Latin Amerika tapi lebih popular di Asia Tenggara terutamanya negara-negara seperti Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei.
Ulam raja bukan saja tumbuhan yang dijadikan ulam tetapi ia juga ada digunakan dalam perubatan tradisional kerana khasiat-khasiatnya. Berdasarkan kajian yang dijalankan dan dikongsikan dalam jurnal sains perubatan, ulam raja ini mempunyai banyak khasiat seperti:
- Mengurangkan kandungan gula dalam darah
- Mengurangkan masalah darah tinggi
- Menggalakkan tumbesaran/pembentukan tulang yang sihat
- Anti radang
- Anti mikrob
- Meningkatkan fungsi kognitif di kalangan warga emas
Sekiranya ada diantara anda yang mempunyai masalah-masalah seperti kencing manis, darah tinggi, kuat pelupa dan lain-lain, apa kata anda cuba jadikan ulam raja sebahagian daripada makanan harian anda. Walaupun begitu, ini bukan bermakna anda harus menggantikan ubåt-ubat dari doktor (sekiranya anda sudah memakan ubat doktor) tetapi jadikan ia sebagai bahan alternatif untuk mengawal penyakit yang ada (atau berkemungkinan ada di masa hadapan).
- Kacang panjang

Nama saintifik kacang panjang ialah Vigna unguiculata subsp. sesquipedalis dan popular juga dijadikan sebagai ulam. Kalau di restoran memang senang jumpa kacang panjang sebagai ulam. Makan celup dengan sambal belacan, nasi panas dan ikan kembung goreng pun sedap. Tapi, ada khasiat ke kacang panjang ni? Haa jangan terkejut sebab kacang panjang pun suatu ulam berkhasiat yang baik untuk anda.
Sebahagian khasiat kacang panjang adalah:
- Kandungan kalori yang rendah – jadi kalau makan, kalori kurang tapi tetap mengenyangkan
- Meningkatkan sistem penghadaman
- Kaya dengan sumber folat
- Kaya dengan vitamin C
- Kaya dengan vitamin K
- Mencegah radikal bebas (mempunyai sifat antioksida)
- Meningkatkan sistem imun
- Kacang bendi

Kacang bendi juga merupakan salah satu ulam yang mudah dijumpai di restoran-restoran di Malaysia. Kacang bendi atau nama saintifiknya Abelmoschus esculentus selalunya direbus seketika dahulu sebelum dibuat ulam. Ini untuk melembutkan sedikit kacang bendi sebelum dimakan. Sama seperti kacang panjang, kacang bendi yang sudah direbus juga dicelup dengan sambal belacan sebelum dimakan dengan nasi panas. Jangan terkejut, kacang bendi juga mempunyai banyak khasiat dan sangat elok dijadikan ulam harian.
Khasiat-khasiat memakan kacang bendi sebagai ulam adalah:
- Mengawal gula dalam darah
- Kaya dengan vitamin C
- Kaya dengan vitamin K
- Meningkatkan kesihatan jantung
- Memperbaiki daya penglihatan
- Mencegah osteoporosis
- Mengurangkan risiko kanser
- Mencegah/mengurangkan stres
Walaupun kacang bendi ni sedap juga digoreng dan dimasak sebagai bendi goreng telur atau bendi goreng sambal, kita akan dapat menikmati khasiatnya dengan lebih menyeluruh jika ia kerap dimakan sebagai ulam.
- Pegaga

Dipanggil Centella asiatica dalam bahasa saintifik, pegaga adalah suatu tumbuhan kecil yang menjalar dan mempunyai jangka hayat yang pendek. Daunnya berbentuk bulat dan licin. Pegaga terkenal di seluruh Asia terutamanya India dan Cina dan daun ini sudah lama digunakan dalam perubatan Ayurvedik dan perubatan tradisional Cina. Walaupun rasanya pahit bila dimakan sebagai ulam, jangan terkejut ya kerana pahit-pahit pun banyak khasiatnya tau!
Diantara khasiat-khasiat pegaga adalah seperti berikut:
- Mengawal paras gula – ini bagus untuk mereka yang ada masalah kencing manis
- Meningkatkan fungsi kognitif – mungkin mereka yang mempunyai masalah pelupa patut mengamalkan pemakanan pegaga selalu
- Mengurangkan stress dan tekanan
- Merawat insomnia
- Menyembuhkan luka dan parut (termasuk tanda regangan selepas melahirkan)
- Sumber antioksida
- Sumber mikrob
- Melambatkan proses penuaan
Mungkin ada yang tak sanggup nak makan pegaga disebabkan rasanya yang pahit tetapi bagi saya yang mengamalkannya, saya boleh mengesahkan yang ia memang membantu menyembuhkan dan menghilangkan parut dan luka dengan cepat.
- Petai

Petai ni bukan ulam pilihan saya sebab baunya boleh menyebabkan saya loya dan pening kepala tapi petai adalah ulam kegemaran orang tua saya. Petai atau nama saintifiknya Parkia speciosa selalunya dimakan sebagai ulam, dimasak dałam lauk atau ada juga orang yang menjerukkannya. Petai mempunyai banyak khasiat. Kandungan zat dalam petai juga banyak dan tinggi seperti vitamin C, vitamin E, thiamin, kalsium, zat besi, magnesium, fosforus, kalium dan banyak lagi.
Oleh itu, tak terkejutlah kalau saya katakan yang petai boleh membantu macam-macam masalah seperti:
- Mengurangkan stres
- Sumber antioksida
- Mengawal paras gula dalam darah
- Baik untuk kesihatan jantung
- Anti radang
- Anti mikrob
- Anti ulser (perut)
- Mencegah anemia
- Menguatkan gigi dan tulang
- Baik untuk sistem penghadaman
Kalau anda suka makan petai dan boleh makan tanpa rasa loya, saya tabik anda. Anda juga bertuah kerana banyak khasiat daripada petai yang boleh anda nikmati. Semoga kita semua sentiasa sihat dan dijauhkan dari penyakit-penyakit teruk.
Saya Zuan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!
*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.
