Lacur Anak Saudara Bawah Umur, Bapa Saudara Hadap 2 Pertuduhan

21 Feb 2022 • 3:47 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Tertuduh berusia 45 tahun dibawa anggota polis ke Mahkamah Sesyen 2 Alor Setar bagi berdepan dua pertuduhan memperkenalkan anak saudaranya kepada dua individu bagi tujuan persundalan.

ALOR SETAR - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini bagi berdepan dua pertuduhan kerana bertindak sebagai orang tengah, dengan memperkenalkan anak saudaranya kepada dua individu bagi tujuan persundalan pada 2020 dan 2021.

Tertuduh yang berusia 45 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah, sebaik kedua-dua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperkenalkan remaja perempuan berusia 16 tahun itu kepada seorang lelaki yang kini berumur 25 tahun, bagi tujuan persundalan antara Mac hingga April 2020.

Manakala dalam pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memperkenalkan anak saudaranya itu kepada seorang lelaki yang kini berusia 37 tahun, bagi tujuan sama pada Mei 2021.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sukamari, Pendang.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Siti Nurul Suhaila Baharin mengikut Seksyen 372(1)(f) Kanun Keseksaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sekiranya disabitkan dengan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara hingga 15 tahun selain disebat dan didenda.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Mac depan. - Getaran, 22 Februari 2022