
Kota Kinabalu: Cadangan kerajaan untuk mengeluarkan kad khas kepada warga asing di Sabah bertentangan dengan janji semasa Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16.
Ketua Pemuda Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (Upko), Felix Joseph Saang berkata kerajaan sebaliknya perlu mencari jalan penyelesaian yang lebih baik bagi menyelesaikan masalah kebanjiran warga asing, selaras dengan janji yang pernah dibuat sebelum ini.
“Adakah GRS, BN, dan PN berbohong kepada rakyat Sabah? Kita masih ingat ucapan kempen Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk calon Parti Bersatu Sabah (PBS) di Kiulu, di mana beliau berjanji akan menghantar pulang ‘kumpit-kumpit’ (pendatang tanpa izin) jika mereka (GRS) memenangi pilihan raya negeri.
“Bagaimanapun, 16 bulan selepas kemenangannya, masih belum ada satu usaha pun untuk menunaikan janji itu. Sebaliknya, rakyat Sabah ‘diberi ganjaran’ dengan cadangan untuk memberikan dokumen kepada warga asing – yang seolah-olah mengiktiraf kehadiran warga asing di sini,” kata Felix dalam satu kenyataan, di sini pada Jumaat.
Beliau menjawab kenyataan Hamzah baru-baru ini mengenai cadangan kerajaan mengeluarkan kad khas untuk warga asing di Sabah.
Felix berkata rakyat Sabah mahu Hamzah menunaikan janjinya untuk menghantar pulang warga asing itu; bukan untuk memberikan mereka taraf yang sama seperti penduduk tempatan.
“Sekiranya cadangan itu dilaksanakan, kerajaan bukan sahaja gagal menunaikan janji, malah ia juga akan berbohong kepada rakyat,” katanya.
“Kami juga ingin bertanya mengapa kerajaan enggan melaksanakan cadangan penyelesaian Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pendatang tanpa izin di Sabah. RCI penuh dengan penemuan dan bukti. Ia juga menanggung kos operasi yang tinggi,” katanya.
Menurut Felix, apa yang lebih memeranjatkan ialah cadangan itu diumumkan ketika negara di ambang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Ini sangat membimbangkan rakyat,” katanya.
“Kami juga ingin mengetahui peraturan dan terma secara terperinci. Siapakah orang yang akan terlibat?”
“Kenapa keputusan itu dibuat tanpa melibatkan rakyat, pembangkang, dan NGO berkaitan. Apakah jaminan cadangan ini telus, terbuka, tepat dan bebas daripada sebarang penyelewengan?
“Pengeluaran kad itu tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya,” tegasnya.
Felix secara sinis bertanya sama ada kad yang dicadangkan itu sama dengan Pas Sementara Sabah (PSS) yang mendapat tentangan hebat semua parti komponen dalam GRS.
“Adakah cadangan itu melibatkan pemegang IMM13, Kad Burung-Burung, dan Sijil Banci?
“Jelas rakyat yang mengundi GRS pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 mula sedar bahawa pemimpin GRS yang mengaku sebagai pejuang ‘anti pendatang’ telah menipu mereka. GRS telah memanipulasi dan menggunakan rakyat Sabah,” kata Felix yang juga Ketua Upko Beluran.
Hamzah dilaporkan sebagai berkata Khamis lalu bahawa pemegang kad berpotensi akan dibenarkan bekerja di Sabah secara rasmi dan anak-anak mereka juga berhak mendapat perkhidmatan sosial seperti manfaat pendidikan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

