KKM Nafi Video Tular Pelajar Alami Reaksi Selepas Vaksinasi

23 Feb 2022 • 2:41 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar dari Twitter KKM

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menafikan video tular yang mendakwa sekumpulan pelajar mengalami reaksi selepas menerima suntikan vaksin.

Menurut KKM, video tersebut merupakan video lama berkaitan kejadian keracunan gas di sebuah sekolah di Pasir Gudang pada 2019.

Dalam satu hantaran di Facebook, KKM turut berkongsi pautan video asal ketika kejadian tersebut.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat palsu tersebut,” katanya.

Pelaksanaan suntikan vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun sudah dimulakan pada 20 September lalu di seluruh negara.

Vaksinasi tersebut layak kepada semua remaja tanpa mengira status kewarganegaraan termasuk remaja yang mempunyai penyakit kronik, daya ketahanan badan rendah dan remaja perempuan yang hamil.

Sementara itu, KKM turut memperkenalkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) 3 Februari lalu untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Sebanyak 1,055 buah sekolah dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi program tersebut.

Setakat semalam, sebanyak 615,671 atau 17.3 peratus golongan berkenaan telah menerima dos pertama. - Getaran, 23 Februari 2022