TNB mahu 300,000 premis dipasang jalur lebar tetap Allo tahun ini

23 Feb 2022 • 11:52 AM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi syarikat subsidiari milik penuhnya, Allo Technology Sdn Bhd (Allo) telah meluaskan capaian internet jalur lebar berkelajuan tinggi ke 56,132 kediaman di enam kawasan di negeri Perak. Ia merupakan penambahan dari lebih 180,000 premis yang telah dilengkapi Allo meliputi negeri Melaka, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor sebelum ini.

Untuk tahun 2022, TNB mensasarkan untuk melengkapkan rangkaian infrastruktur gentian optik di enam lagi negeri terlibat dengan menghubungkan 300,000 premis menjelang hujung tahun ini. Allo memulakan perkhidmatan jalur lebar tetap mereka di Melaka menerusi 17,000 kediaman di sana.

Pengerusi TNB, Dato' Sri Hasan Arifin berkata, “Keupayaan TNB menerusi Allo untuk memberi perkhidmatan berasaskan teknologi yang melangkaui perkhidmatan elektrik di negeri Perak ini, adalah manifestasi keupayaan syarikat untuk memastikan rakyat mendapat liputan jalur lebar yang meluas sejajar dengan hasrat kerajaan. Peranan TNB menerusi Allo dalam menjayakan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) membuktikan komitmen berterusan kami menjadikan kehidupan rakyat lebih sejahtera di dunia yang lebih baik, Better, Brighter. Peranan menerangi kehidupan dengan membekalkan elektrik diperteguhkan lagi dengan mempersiapkan rakyat dan negara menghadapi Revolusi Industri 4.0 melalui capaian jalur lebar yang meluas," kata Hasan.

image is not available

Usaha TNB menerusi Allo ini demi menyokong JENDELA bagi merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat terutamanya di kawasan luar bandar. Matlamat utama JENDELA adalah mengadakan akses jalur lebar talian tetap berkelajuan Gigabit kepada 7.5 juta premis, mempertingkatkan kelajuan jalur lebar mudah alih dan meluaskan liputan rangkaian jalur lebar mudah alih 4G di kawasan berpenduduk. Kawasan-kawasan yang menerima manfaat infrastruktur ini di negeri Perak ialah Sungai Rapat (16,483 premis), Kinta (17,144), Menglembu (12,497), Papan (4,598), Silibin (2,790) dan Tasek (2,620).

Rangkaian gentian optik ke rumah (FTTH) itu dimanfaatkan menerusi konsep Rangkaian Akses Terbuka (open access). Allo sebagai penyedia rangkaian akses terbuka meluaskan potensi capaian HSBB menerusi kerjasama dengan tujuh pembekal perkhidmatan runcit atau Retail Service Providers (RSP) seperti Maxis, Astro, Digi, Celcom, U Mobile, Freshtel dan Redtone yang menawarkan pelbagai pakej-pakej internet menarik kepada rakyat.

Tunjang kepada perkhidmatan ini adalah talian fiber optik sepanjang 18,000km milik TNB di samping capaian infrastruktur meluas kepada para pelanggan seperti tiang-tiang elektrik TNB di seluruh Semenanjung. Inilah kelebihan TNB selaras dengan aspirasinya sebagai pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa. Ia menepati aspirasi Hala Tuju Kelestarian TNB yang menyumbang kepada langkah menangani perubahan iklim serta memenuhi agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang menjadi tuntutan global.

Bacaan Berkaitan