
KUALA LUMPUR - Bukit Aman sedang memburu sindiket dipercayai menjalankan aktiviti penipuan pelaburan ‘patuh syariah’ membabitkan kerugian mencecah RM3 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md Din berkata, pihaknya sudah mengenal pasti dalang utama sindiket terbabit dan konconya berdasarkan laporan serta hasil siasatan dijalankan.
Menurutnya, usaha mengesan dan menahan semua suspek terbabit sedang giat dijalankan.
“Setakat ini sebanyak 19 laporan polis diterima berkaitan kes berkenann membabitkan jumlah kerugian keseluruhan mencecah RM3 juta.
“Berdasarkan siasatan, skim pelaburan ini menawarkan pembelian saham syarikat didakwa patuh syariah.
“Pelabur dijanjikan faedah sebanyak empat peratus setiap bulan dan wang pelaburan pokok dipulangkan selepas kontrak pelaburan tamat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kamarudin berkata, sindiket itu bagaimanapun menghilangkan diri selepas membayar faedah bulanan pada peringkat awal pelaburan kepada mangsa.
“Dalam usaha membanteras kegiatan penipuan pelaburan, polis mengingatkan orang ramai supaya memberikan perhatian dan melakukan semakan terperinci sebelum menyertai apa-apa skim pelaburan, terutama yang menjanjikan pulangan lumayan.
“Dapatkan maklumat lanjut dari sumber rasmi, seperti Semak Mule, Alert List Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti (SC) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya. – Getaran, 25 Februari 2022

