
Adakah anda perasan pada tengah malam 9 Februari yang lalu, ada bunyi mercun yang lebih banyak dan kuat? Adakah anda tertanya-tanya mengapa bunyi mercun sedangkan sambutan Tahun Baru Cina sudahpun berlalu lebih seminggu yang lepas? Jangan terkejut ya, kerana jika anda menetap di kawasan perumahan yang ramai bangsa Cina — terutamanya sub-etnik Hokkien, hari ke-9 selepas Tahun Baru Cina ini adalah hari orang Hokkien menyembah Dewa Ti Kong (atau dałam Bahasa Mandarin, dewa ini dipanggil “Tian Gong”). Disebabkan Dewa Ti Kong ini dianggap dewa tertinggi dałam kepercayaan orang Cina, tentulah sambutan buat dewa ini lebih besar dan meriah! Hari ini dipanggil Pai Ti Kong atau Bai Tian Gong.

Sumber: Wikipedia
Ti Kong atau Tian Gong adalah Dewa Langit atau nama rasminya ialah Yu Huang Shangdi (玉皇上帝). Pengamal-pengamal agama Taois memanggil dewa ini Yu Huang Da Di (玉皇大帝). Walaupun dewa ini dikenali dengan pelbagai nama, nama-nama yang berbeza ini tetap merujuk kepada dewa yang sama iaitu dewa “Yang Tertinggi”.
Mengapa Ti Kong dianggap dewa paling tertinggi? Dalam kepercayaan orang Cina, langit merupakan alam tertinggi di dalam seluruh alam semesta. Mengikut kepercayaan asal orang Cina juga, tidak ada satu Tuhan Pencipta tetapi wujud dewa-dewa yang menetap di “syurga”. Dewa-dewa ini patut disembah dan dihormati berdasarkan kuasa-kuasa mereka.
Kalau diikutkan daripada catatan sejarah Cina, nama “Tian” dan “Shangdi” boleh ditemui seawal 700 SM dalam dokumen-dokumen Cina. “Tian” bererti “langit”, “angkasa” atau “syurga”, namun ia tidak menggambarkan Tuhan Pencipta manakala “Shangdi” bermaksud “atas Maharaja”. Maka, apabila digabungkan, ia bermaksud “Yang Maha Besar” — lebih besar dari Maharaja.
Namun, dari sudut mitologi Cina pula, Yu Huang adalah seorang putera. Sewaktu baginda dilahirkan, suatu cahaya indah memenuhi seluruh kerajaan baginda. Waktu muda, baginda seorang yang baik dan bijak. Baginda suka membantu orang-orang susah dan melayan manusia dan haiwan dengan baik. Selepas kewafatan ayah baginda dan baginda menaiki takhta sebagai raja, rakyat baginda semua bahagia dan hidup tenang. Pada suatu hari baginda menyatakan hasrat untuk mendalami agama Tao dan selepas beribu-ribu tahun, baginda mencapai keabadian tahap tertinggi iaitu “Keabadian Tahap Emas” (Golden Immortality). Sejuta tahun selepas itu, baginda mencapai tahap Yu Huang Shangdi, iaitu Dewa Langit.
Kalau menurut agama Taois dan sub-etnik Hokkien, hari jadi Ti Kong jatuh pada hari ke-9 tahun baru kerana 9 adalah digit paling besar dan mulia dalam metafizik Cina. Namun bagi sub-etnik Hakka pula, mereka percaya hari jadi Ti Kong jatuh pada hari pertama Tahun Baru Cina. Tapi memandangkan lebih ramai orang Hokkien di Malaysia (lebih 40% orang Cina di Malaysia merupakan sub-etnik Hokkien), maka sambutan pada hari ke-9 selepas Tahun Baru Cina ini lebih dikenali.
Ada satu lagenda berkenaan orang Hokkien dan Ti Kong ini. Ia dikatakan berlaku pada zaman Dinasti Song (960 – 1279). Dinasti Song terkenal dengan masalah serangan Mongol di kawasan Selatan China seperti Fujian, Henan, Zhejiang. Tempat yang paling dahsyat diserang ialah wilayah Fujian iaitu penempatan orang Hokkien. Ada suatu masa sewaktu orang Hokkien melarikan diri dari serangan Mongol, mereka sampai ke hutan tebu dan mencari perlindungan disitu. Walaupun ada diantara mereka dibunuh orang Mongol sewaktu mencari tempat persebunyian, kebanyakan dari mereka selamat di dalam hutan tebu dan tidak ditemui orang-orang Mongol. Selepas beberapa hari, barulah mereka keluar dari tempat persembunyian dan sedar bahawa ia sudah hari ke-9 Tahun Baru Cina. Ini dikatakan salah satu sebab orang Hokkien menyambut hari ke-9 dalam Tahun Baru Cina secara besar-besaran.
* Dalam lagenda lain, ada juga yang menyatakan ia adalah lanun Jepun yang menyerang penempatan orang Hokkien.

Lagi satu, bunyi perkataan tebu iaitu “kam chia” hampir dengan bunyi perkataan terima kasih dalam Bahasa Hokkien iaitu “kam sia”. Jadi, kalau anda nampak sepasang tebu diletakkan di meja sembahan rumah jiran anda yang berbangsa Cina (Hokkien), jangan terkejut kerana ia digunakan sebagai bahan perantaraan untuk menunjukkan rasa terima kasih mereka kepada Ti Kong dalam menyelamatkan nenek moyang mereka.
Saya Zuan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!
*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.
