
KUALA LUMPUR - Dua beranak yang dipercayai menjalankan aktiviti penipuan perkhidmatan pakej perkahwinan, dicekup selepas menipu seorang kerani yang menempah ‘perkhidmatan’ mereka, semalam.
Mangsa iaitu kerani terbabit tampil membuat laporan polis Selasa lalu, selepas perkhidmatan yang dijanjikan tidak ditunaikan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Mahidisham Ishak berkata, mangsa pada Mei tahun lalu mendapatkan perkhidmatan perunding perkahwinan daripada sebuah syarikat di sekitar Lembah Klang.
Menurutnya, mangsa berminat dengan tawaran pakej perkahwinan termasuk dewan, katering, pakaian pengantin pasangan serta jurugambar yang ‘disediakan’ suspek.
“Mangsa membuat pembayaran deposit berjumlah RM7,265 bagi perkhidmatan tersebut namun semua yang dijanjikan tidak diterima,” katanya hari ini.
Mohd Mahidisham berkata, bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur membuat tangkapan terhadap seorang bapa berumur 57 tahun dan anak lelakinya yang berusia 25 tahun di Lembah Klang.
“Polis turut merampas beberapa dokumen dan telefon bimbit.
“Kedua-dua suspek ditahan reman bermula semalam hingga Selasa depan,” katanya sambil memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Katanya, polis tidak menolak kemungkinan bahawa masih ramai lagi individu yang menjadi mangsa kepada kedua-dua suspek terbabit.
“Kami masih mengesan dan meminta mangsa-mangsa yang terlibat untuk tampil membuat laporan polis dengan segera.
“Polis juga menasihatkan peniaga supaya jangan menawarkan perkhidmatan atau menjual barangan sekiranya tidak berkemampuan dan tidak sewenang wenangnya menggunakan alasan pandemik COVID-19 kepada pelanggan jika gagal untuk menunaikan janji,” katanya. - Getaran, 6 Februari 2022

