24 Kematian Baharu COVID-19, Kedah Catat Jumlah Tertinggi

12 Feb 2022 • 11:01 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar fail AFP

KUALA LUMPUR - Sebanyak 24 kes kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 direkodkan setakat tengah malam tadi.

Berdasarkan data di laman sesawang COVIDNOW, sembilan kes kematian berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kematian mencecah 32,099 dengan 6,483 daripadanya adalah kes BID.

Kedah mencatatkan angka kematian tertinggi iaitu lima, masing-masing empat di Johor dan Sabah manakala Pahang serta Perak, tiga kes di setiap negeri.

Negeri Sembilan pula merekodkan dua kematian manakala Perlis, Selangor dan Terengganu masing-masing satu kes.

Tiada kematian dilaporkan di Kelantan, Melaka, Pulau Pinang, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sehingga tengah malam tadi, sebanyak 122,991 kes aktif dilaporkan dengan 111,323 individu sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 6,001 individu pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), manakala 5,512 menerima rawatan di hospital.

Kira-kira 155 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 80 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sebanyak 5,807 kes sembuh turut dilaporkan.

Dalam pada itu, sebanyak 160,193 dos vaksin diberikan semalam, iaitu 137,912 dos penggalak, 20,703 dos pertama dan 1,578 dos lengkap.

Setakat ini, kira-kira 25,730,652 atau 78.8 peratus penduduk di negara ini sudah lengkap divaksinasi dengan 22,935,622 membabitkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas. - Getaran, 12 Februari 2022