Perlu peka perkembangan paras air sungai Kelantan, Terengganu

26 Feb 2022 • 8:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - Orang ramai diminta supaya peka dengan perkembangan terkini paras air sungai khususnya di Kelantan dan Terengganu.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menerusi satu hantaran di Facebook miliknya pada Jumaat.

Justeru, beliau menggalakkan agar orang ramai merujuk amaran dan ramalan banjir terkini serta maklumat berkenaan kenaikan aras sungai di kawasan masing-masing dengan melayari https://publicinfobanjir.water.gov.my.

“Status semasa aras air sungai Kelantan dan Terengganu. Digalakkan merujuk amaran dan ramalan banjir terkini serta maklumat berkenaan kenaikan aras sungai di kawasan anda serta kadar lebat hujan dengan melayari https://publicinfobanjir.water.gov.my,” katanya.

Sementara itu, menerusi maklumat di laman publicinfobanjir.water.gov.my, enam sungai di Kelantan menunjukkan bacaan melebihi paras bahaya sehingga jam 6.30 petang Jumaat.

Ia termasuk Sungai Kelantan di Kuala Krai, Kuala Krai (25.12 meter); Kampung Temangan, Machang (22.07 meter); Rantau Panjang, Pasir Mas (10.46 meter); Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai (35.04 meter); Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (25.81 meter) dan Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah (16.04 meter).

Manakala di Terengganu pula terdapat sembilan sungai menunjukkan bacaan melebihi paras bahaya, antaranya empat di Setiu membabitkan Sungai Chalok di Jambatan Chalok (8.69 meter); Sungai Nerus di Kampung Bukit (13.73 meter); Sungai Nerus di Kampung Langkap (21.73 meter) dan Sungai Setiu di Kampung Besut (17.62 meter).

Lain-lain kawasan melibatkan Sungai Terengganu di Draw Bridge, Kuala Terengganu (1.84 meter);Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun (21.05 meter); Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu (20.88 meter); Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Pamam, Kemaman (4.97 meter) dan Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang (2.84 meter).