Sajat sudah tukar status jantina

23 Feb 2022 • 11:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - Usahawan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat mengesahkan bahawa beliau sudah berjaya menukar status jantinanya kepada wanita di Australia.

Sajat, 35, melalui sesi Live di Instagramnya berkata, dia berasa seperti dilahirkan semula dan sangat gembira kerana proses untuk menukar status jantina di negara itu mudah dilakukan.

“Saya gembira sangat semua sudah selesai. Saya tukar ‘gender’ saya. Saya rasa selesa menjadi wanita, saya hargai kerana negara ini faham keadaan saya dan saya rasa sangat bebas sekarang.

“Saya boleh jadi diri sendiri, saya bangga menjadi wanita. Terasa seperti dilahirkan semula, ini yang saya mahukan. Saya mahu orang terima saya,” katanya pada Selasa.

Ditanya oleh pengikutnya sama ada dia akan menukar namanya, Sajat memaklumkan dia akan kekal menggunakan nama Nur Sajat.

Sajat memilih untuk memulakan kehidupan baharu di Australia sejak Oktober tahun lalu selepas mendakwa dirinya berasa tidak selamat tinggal di Malaysia.

Dia sebelum itu menjadi buruan pihak berkuasa sehingga melarikan diri ke Thailand sebelum ditahan oleh pihak imigresen negara itu pada 8 September 2021 kerana memiliki pasport tidak sah.

Ketika ditahan, Sajat mengemukakan kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang dikeluarkan ibu pejabat suruhanjaya itu di Bangkok dan memaklumkan dia akan berhijrah ke Australia.

Selepas berbulan-bulan dalam pemburuan dengan destinasi terakhir di Bangkok, Thailand, Sajat mengesahkan dirinya sudah berada di Australia pada 18 Oktober lalu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved