Lelaki Terjatuh Ketika Mendaki Gunung Kinabalu

16 Feb 2022 • 7:20 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anggota bomba dari BBP Ranau membantu membawa turun mangsa yang terjatuh ketika misi mendaki Gunung Kinabalu, hari ini. - Gambar ihsan JBPM

RANAU - Hasrat seorang lelaki untuk menakluk Gunung Kinabalu tidak kesampaian selepas dia terjatuh ketika misi mendaki puncak tertinggi di Malaysia itu, hari ini.

Insiden pada jam 11 pagi itu, turut mengakibatkan mangsa yang juga warga tempatan mengalami kecederaan di lutut dan sukar berjalan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib ketika dihubungi, mengesahkan kejadian tersebut.

“Kami (bomba) menerima panggilan kecemasan daripada malim gunung yang bertugas berhubung kejadian itu pada jam 11.58 pagi tadi.

“Menurut maklumat awal, mangsa dikatakan terjatuh di Kilometer 5.8 Gunung Kinabalu,” katanya.

Ridwan berkata, ekoran kecederaan dialaminya, mangsa yang berumur 27 tahun tidak dapat meneruskan perjalanan, selain mengalami akut gunung.

“Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR), kemudian segera digerakkan ke lokasi bagi memberikan rawatan awal kepada mangsa.

“Disebabkan masalah akut gunung, anggota bomba terpaksa membalut mangsa menggunakan plastik bagi mengekalkan haba sebelum dibawa turun ke pintu masuk Timpohon, Taman Kinabalu menggunakan pengusung,” katanya.

Katanya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada jam 5.02 petang,” katanya. - Getaran, 16 Februari 2022