
Kota Kinabalu: Kualiti karya pemenang hadiah cerpen/puisi Bahasa-Harian Ekspres untuk karya yang tersiar dalam ruangan Sastera dan Budaya Harian Ekspres sepanjang tahun 2021 meningkat, kata Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa), Datuk Jasni Matlani (gambar).
Katanya, 48 buah cerpen dan 151 buah puisi yang tersiar dalam akhbar Harian Ekspres tahun lalu memperlihatkan peningkatan positif dari segi kualiti yang bukan sahaja menunjukkan penulis Sabah boleh bersaing di peringkat domestik, tetapi di peringkat yang lebih tinggi.
“Seperti yang saya tegaskan ketika mula melaksanakan hadiah ini pada 2016, penulis Sabah boleh bersaing dengan penulis dari Semenanjung, Sarawak dan, malah di peringkat Asean.
“Sebab itu saya membuka ruang kepada penulis luar Sabah, supaya penulis Sabah berusaha lebih gigih menghasilkan karya berkualiti di peringkat lebih tinggi,” katanya kepada media semasa majlis pengumuman penerima hadiah berkenaan di dewan mini rumah Bahasa, di sini Isnin lepas.
Jasni yang juga penerima Anugerah SEA Write 2015, berkata, karya yang dihasilkan itu juga turut menyerlahkan tema yang pelbagai berkaitan kemanusiaan dan warna-warni kehidupan yang rencam.
“Hal ini menunjukkan kematangan mereka yang mampu mengangkat tema yang pelbagai, malah diolah dengan cermat dan teratur, terutama dari segi garapan naratif, plot, latar dan jalinan bahasa yang menarik sehingga memperlihatkan unsur estitika yang tinggi,” katanya.
Menurutnya, setelah dinilai secara teliti dan saksama, panel hakim yang dilantik telah memperakukan 10 buah cerpen berikut sebagai mempunyai kualiti dan memenuhi kriteria penilaian.
“Cerpen berkenaan ialah Cinta seekor kucing dan seorang lelaki karya Abdul Karim Gullam, Cerita sebuah perjuangan yang terpadam (Ramlee Jalimin Jainin), Jejak pejuang daerah putih (Norlie Masrin) dan PM Beruk (Rodiah Haji Said).
“Karya-karya lain ialah Di sebalik tirai (Norhayati Tasif), Anak-anak perkebunan dan indahnya Kota Kinabalu (Fanny J. Poyk), Hujan yang tidak pandai berbohong (Salvia Rose), Fatamorgana dua kekasih (Nim Yorza), Cinta Corona karya Mamu (MK Hasny), dan Hujan subuh Rabu karya Ruhaini Matdarin,” katanya.
Sementara itu, 10 buah puisi yang layak diberikan hadiah ialah Bisa kupinjam tikaman matamu. Rupanya di hujungnya tajam dendam berzaman karya Hasyuda Abadi, Pencinta kesucian (Marmoh Kasman), Wahai lelaki agung carilah aku (Jamail Masador), Tanah bertuah (Duliam Suari) dan Aku masih berjaga (Edward Solibi).
“Lima puisi lain ialah Perempuan ini (Hashim Haji Ibrahim), Surat yang tidak sampai kepada ayah (Lailah Elok), Berjalan di landasan zaman (Mohilis), Resepi cinta (Aminah Sambion), dan Kelmarin dan masa yang ditentukan (Yatim Ahmad).
Jasni mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan mengharapkan kemenangan mereka itu boleh menjadi penyuntik semangat mereka untuk terus gigih berkarya dan menyemarakkan kegiatan sastera di Negeri Di Bawah Bayu ini.
“Saya turut mengucapkan rakaman terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak Harian Ekspres yang terus memberi ruang dan menyiarkan karya para penulis Sabah, malah seluruh Asean di akhbar ini.
“Walaupun kita terbuka dan lebih liberal, tetapi ini juga menyuntik persaingan positif untuk hadiah cerpen Bahasa/Harian Ekspres ini,” katanya.
Majlis penyampaian hadiah kepada semua pemenang dijangka disempurnakan semasa majlis Festival Kesusasteraan dan Kesenian Antarabangsa Negeri Sabah 2022 yang dijangka diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, pada 3-6 Mac 2022 depan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
