Pemeriksaan Suhu Di Institusi KPM Tidak Wajib Mulai Esok

10 Feb 2022 • 11:45 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki premis institusi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) tidak diwajibkan bermula 11 Februari 2022.

Jurucakap KPM berkata, semua guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP), pekerja perkhidmatan sokongan dan pelawat bagaimanapun masih diwajibkan mengimbas kos QR melalui aplikasi MySejahtera, sebelum memasuki premis institusi pendidikan itu.

“Keputusan ini dilaksanakan KPM merujuk kepada pengumuman Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada 8 Februari lalu, berkaitan pemansuhan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan suhu badan dan buku rekod mendaftar masuk ke mana-mana premis berkuat kuasa 11 Februari 2022,” katanya.

Jurucakap itu memaklumkan, ibu bapa dan penjaga dimohon untuk memastikan anak masing-masing, berada dalam keadaan sihat serta tidak bergejala sebelum hadir ke sekolah sebagai langkah keselamatan.

Jelasnya, murid yang bergejala atau mempunyai ahli keluarga disahkan positif COVID-19 dan tinggal serumah adalah tidak dibenarkan untuk hadir ke sekolah.

Manakala, katanya, tahap kesihatan murid semasa berada di sekolah akan dipantau secara berterusan bagi memastikan mereka yang bergejala diasingkan di bilik isolasi untuk tindakan susulan.

“KPM juga menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan kementerian berkenaan.

“Kementerian sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya. - Getaran, 10 Februari 2022