SPA Setuju Lanjut Kontrak 1,243 Penolong Pegawai Perubatan KKM

3 Feb 2022 • 9:48 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Tempoh kontrak seramai 1,243 Penolong Pegawai Perubatan (PPP) Gred U29 dari kalangan graduan Institut Latihan Kementerian Kesihatan (KKM) yang berakhir semalam telah dilanjutkan semula.

Ketua Setiausaha KKM Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bersetuju meluluskan pelantikan semula kontrak petugas kesihatan terbabit pada 26 dan 28 Januari lalu.

Katanya, pemakluman mengenai pelanjutan kontrak itu telah pun dimaklumkan kepada Ketua Jabatan.

“KKM amat menghargai peranan penting PPP bersama barisan hadapan lain khususnya dalam menangani pandemik COVID-19.

“Mengambil kira status Malaysia kini dalam peralihan dari fasa pandemik ke fasa

endemik dan usaha memulihkan perkhidmatan tertangguh akibat pandemik COVID-19, maka KKM telah memperakukan pelanjutan kontrak petugas kesihatan yang akan menamatkan kontrak pada tahun ini,” katanya hari ini.

Pada masa sama, Mohd  Shafiq berkata, tawaran pelanjutan kontrak bagi kohort lain yang berakhir tahun ini akan dibuat secara berfasa, sebaik perakuan KKM diluluskan agensi pusat dan SPA.

Terdahulu Getaran melaporkan, kumpulan PPP lantikan kontrak Gred U29 mengadakan protes secara maya semalam bagi menggesa kerajaan melanjutkan tempoh perkhidmatan dan menerima kumpulan petugas kesihatan itu sebagai pegawai tetap.

Jurucakap kumpulan itu menegaskan, tindakan mereka bukan untuk melakukan penentangan, sebaliknya memohon kerajaan membantu nasib sebahagian besar daripada PPP yang mengalami risiko tidak dilanjutkan perkhidmatan ketika negara masih berdepan wabak COVID-19.

Menurutnya, tiada demonstrasi tunjuk perasaan dan mogok dilakukan di lapangan kerana mahu menjadi contoh buat masyarakat dan profesion lain, di waktu semua pihak masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Kumpulan berkenaan juga mengharapkan agar kerajaan memberi jaminan untuk membantu proses penyambungan kontrak dan mempunyai peluang untuk diserapkan dalam perkhidmatan secara tetap.

Jelasnya, gesaan terbabit bukan semata-mata hanya untuk penjawatan tetap, kerana mereka masih sedar tanggungjawab kepada masyarakat dalam membantu negara menghadapi pandemik COVID-19. - Getaran, 3 Februari 2022