Peniaga jual serbuk kopi mengandungi racun didenda

8 Feb 2022 • 12:42 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Seorang peniaga wanita didenda RM4,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini Isnin atas dua pertuduhan menjual serbuk kopi mengandungi racun dan produk tidak berdaftar, dua tahun lalu.

Roslinda Usman, 45, mengaku bersalah di hadapan Hakim Elsie Primus melakukan kesalahan itu pada 12 tengah hari pada 27 Feb 2020 di sebuah gerai, di Pusat Penjaja Indah Permai, Taman Indah Permai, Off Jalan Sepanggar.

Bagi pertuduhan pertama, Roslinda diperintahkan membayar denda RM2,000 atau penjara tiga bulan kerana menjual sembilan paket ‘Kopi Harimau’, 17 paket ‘Strong Man Coffee’, yang dikesan mengandungi Sildenafil dan Tadalafil; dan 20 paket lagi ‘Kopi Harimau’, 13 paket ‘Natural Herbs Coffee’ dan 20 paket ‘Strong Man Coffee’, yang dikesan mengandungi Tadalafil.

Pertuduhan menyatakan bahawa Sildenafil dan Tadalafil adalah racun yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta Racun 1952.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit sabitan.

Bagi pertuduhan kedua, Rosalinda didenda RM2,500 atau penjara tiga bulan kerana memiliki tiga produk tidak berdaftar iaitu 11 unit Kinoki, enam unit Fresheare Strong dan dua unit Al-Barakah Ayam Selasih.

Dia didapati melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, satu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) Peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952 yang membawa hukuman denda sehingga RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Rosalinda yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dan berkata dia tidak menyedari produk itu mengandungi racun.

Pegawai Pendakwa dari Jabatan Farmasi Lokman Hakim Abdullah mendesak agar peniaga itu dikenakan hukuman pencegahan demi keselamatan dan kesihatan orang ramai serta pengajaran kepada Rosalinda dan pesalah lain.

Beliau berhujah bahawa penjualan dan penggunaan produk tersebut tidak dibenarkan tanpa pengawasan pakar perubatan dan penggunaan produk itu hanya dibenarkan selepas pemeriksaan kesihatan dan satu-satunya produk yang dibenarkan adalah produk berdaftar.

Lokman memaklumkan kepada mahkamah bahawa produk yang dirampas itu dijual di gerai kosmetik oleh pekerja yang langsung tidak mempunyai pengetahuan tentang perubatan yang berbahaya kepada pengguna.

“Produk itu dijual dalam bentuk serbuk kopi dan ini adalah satu bentuk penipuan yang cuba mengaburi pihak berkuasa terutamanya Kementerian Kesihatan,” kata Lokman sambil menambah bahawa risiko seperti serangan jantung dan komplikasi kardiovaskular boleh berlaku kepada pengguna.

Roslinda membayar denda itu.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.