Pengembara Malaysia ke India Tidak Perlu Jalani Kuarantin

14 Feb 2022 • 8:28 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
India telah membuka sempadan negaranya untuk aktiviti pelancongan sejak 15 November lalu. - Gambar AFP

KUALA LUMPUR - Pengembara dari Malaysia ke India yang sudah melengkapkan imunisasi COVID-19 tidak perlu menjalani kuarantin, berkuat kuasa hari ini.

Jurucakap Suruhanjaya Tinggi India ke Malaysia memaklumkan, pengembara terbabit juga tidak wajib menjalankan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) pra penerbangan setibanya di negara berkenaan.

“Sebagai negara yang memberi vaksinasi besar-besaran diketuai kepimpinan Vaksin Aatmanirbhar India bersama pelaksanaan protokol COVID-19, India melonggarkan sekatan perjalanan kepada pengembara dari Malaysia.

“Selamat kembali ke India,” kata jurucakap suruhanjaya itu menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Walaupun Malaysia dan India tidak menandatangani pengiktirafan rasmi bersama bagi pensijilan COVID-19, kerajaan kedua-dua negara bersetuju menerima sijil vaksinasi sebagai amalan diplomatik.

India membuka sempadan negara itu untuk aktiviti pelancongan sejak 15 November lalu, namun mengenakan sekatan mengikut negara.

Media melaporkan, penerima vaksin yang diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) atau di negara yang mempunyai perjanjian pengiktirafan bersama sijil vaksin dengan India, tidak perlu mengemukakan ujian semasa ketibaan, berkuat kuasa hari ini.

Setakat 10 Februari, senarai itu mencakupi 82 negara, termasuk Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK), namun pengembara yang tidak memenuhi syarat masih perlu melakukan ujian.

Laporan itu menyatakan, tiada kuarantin sejurus ketibaan ke India dan penumpang antarabangsa diminta melakukan pemeriksaan kendiri berhubung tahap kesihatan mereka selama 14 hari selepas ketibaan. – Getaran, 14 Februari 2022