Dua kakitangan kesihatan didenda RM30,000 tipu peralatan tak wujud

9 Feb 2022 • 2:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

MELAKA - Dua kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu atas tiga pertuduhan menipu pembekalan peralatan tidak wujud bernilai hampir RM10,000 empat tahun lalu.

Muhammad Nurhafizi Samat, 34, dan Mohd Zamry Yazid, 47, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan pilihan dibacakan terhadap mereka secara berasingan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Muhammad Nurhafizi didakwa menipu dan memperdayakan seorang kakitangan PKD Jasin sehingga mendorong individu itu memperakukan pembayaran sebanyak RM9,536 kepada sebuah syarikat pembekalan Peralatan bagi Unit Kawalan Mutu Air (KMAM) Pejabat Kesihatan Daerah Jasin.

image is not available

Mohd Zamry Yazid pula didakwa bersubahat dengan Muhammad Nurhafizi dengan menipu individu sama apabila dengan sengaja mendorongnya memperakukan pembayaran dengan nilai sama kepada syarikat sama.

Perbuatan itu dilakukan di Pejabat Kesihatan Daerah Jasin antara 5 November hingga 9 November 2018.

Mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh masing-masing diwakili peguam Mohd Zulfiqri Zakaria dan Azrul Zulkifli Stork merayu kepada mahkamah agar hukuman ringan dikenakan dengan alasan anak guam meraka masih mempunyai tanggungan keluarga selain telah menyesali kesalahan dilakukan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat meminta hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira wang penipuan itu merupakan dana awam yang digunakan untuk kepentingan peribadi.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh didenda RM15,000 setiap seorang atau 10 bulan penjara jika gagal membayar denda dikenakan.