Tukang Rumah Maut Renjatan Elektrik

24 Feb 2022 • 6:56 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Bomba menurunkan mayat mangsa yang maut terkena renjatan elektrik di Lorong Pauh, Derga di Alor Setar, hari ini.

ALOR SETAR - Seorang tukang rumah maut terkena renjatan elektrik sewaktu menjalankan kerja pemasangan bumbung rumah di Lorong Pauh, Derga di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian pada kira-kira jam 11.50 pagi itu mengakibatkan mangsa, Khairul Hadi Abu Hassan, 39, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa bersama dua rakan sekerjanya sedang menukar bumbung rumah di situ.

“Mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik yang mengakibatkannya meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Sepasukan pegawai dan anggota bomba serta kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB), bekerjasama bagi menurunkan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, kematian mangsa disahkan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang tiba di lokasi dan mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi tujuan ujian saringan COVID-19 serta bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II, Ahmad Naufal Abdullah memaklumkan, mangsa dilihat sudah tidak bergerak dan dalam keadaan terduduk sebaik pihaknya sampai ke lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa turun dengan menggunakan alat pengusung dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. - Getaran 24 Februari 2022.