9 Kematian Baharu COVID-19, Johor Catat Jumlah Tertinggi

7 Feb 2022 • 10:41 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Jumlah kumulatif kematian akibat COVID-19 hari ini mencecah 32,034 dengan 6,464 daripadanya adalah kes BID. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Sebanyak sembilan kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 direkodkan setakat tengah malam tadi.

Berdasarkan data di laman sesawang COVIDNOW, dua kes kematian berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kematian mencecah 32,034 dengan 6,464 daripadanya adalah kes BID.

Johor mencatatkan angka kematian tertinggi sebanyak empat kes, diikuti satu kematian masing-masing di Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang dan Terengganu.

Tiada kematian dilaporkan di Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sehingga tengah malam tadi, sebanyak 69,572 kes aktif dilaporkan dengan 60,999 individu sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 4,474 individu pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), manakala 3,962 menerima rawatan di hospital.

Kira-kira 137 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 71 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sebanyak 6,460 kes sembuh turut dilaporkan.

Dalam pada itu, sebanyak 69,601 dos vaksin diberikan semalam, iaitu 52,517 dos penggalak, 16,325 dos pertama dan 759 dos lengkap.

Setakat ini, kira-kira 25,720,902 atau 78.8 peratus penduduk di negara ini sudah lengkap divaksinasi dengan 22,929,493 membabitkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas. - Getaran, 7 Februari 2022