Pencerobohan Perairan, Pendapatan Nelayan Di Kuala Muda, Yan Terjejas

2 Mar 2022 • 7:01 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Benih ikan yang sepatutnya menjadi rezeki buat nelayan di empat pangkalan di Kuala Muda dan Yan musnah akibat turut dikaut bot pukat tunda yang menceroboh perairan itu.

SUNGAI PETANI - Pendapatan lebih 1,000 nelayan di empat pangkalan di Kuala Muda dan Yan di sini, terjejas ekoran pencerobohan bot pukat tunda, aktiviti bot rawa sorong serta penggunaan bubu naga di perairan itu.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kadir berkata, pencerobohan di Teluk Nipah, Teluk Amboi, Pulau Sayak dan Tanjung Dawai itu menyebabkan golongan terbabit hanya meraih pulangan antara RM30 hingga RM40 setiap kali turun ke laut.

Katanya, pendapatan terbabit jauh berbeza dengan sebelum kejadian itu, sehingga membolehkan nelayan memperoleh lebih RM200.

“Mereka juga mengalami kerugian besar mencecah puluhan ribu ringgit apabila alat tangkapan ikan digunakan musnah dilanggar bot pukat tunda dan bot pukat rawa sorong tersebut,” katanya.

Mohideen berkata, aktiviti haram itu biasanya bermula kira-kira jam 12 tengah malam hingga 6 pagi di kawasan yang terletak antara 100 meter hingga empat kilometer dari pantai.

“Kawasan sering dimasuki bot itu adalah perairan Pulau Bidan, Tanjung Jaga dan Singkir,” katanya.

Menurut Mohideen, walaupun masalah itu sudah lama berlanjutan dan beberapa kali diadukan kepada pihak berkuasa, tiada tindakan berkesan diambil bagi mengatasinya sehingga kini.

Jelasnya, berikutan kegagalan pihak berkuasa menangani masalah itu, pihaknya menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) campur tangan serta menjalankan siasatan segera berhubung isu berkenaan. 

Menurut beliau, isu terbabit bukan baharu, sebaliknya disuarakan nelayan pantai di kawasan itu sejak berpuluh tahun dulu.

“Namun akibat penguatkuasaan lemah, keadaan ini berlarutan hingga sekarang,” katanya.

Seorang nelayan, Mukhlis Mansor, 36, berkata apa yang menghairankan adalah setiap kali aduan dibuat, kegiatan haram tersebut akan berhenti beroperasi untuk tempoh tertentu.

image is not available
Mukhlis Mansor

“Walaupun banyak aduan dibuat, masalah itu berterusan. Kami berharap isu ini dapat diselesaikan segera,” katanya. 

Bagi nelayan, Amin Abdul Hamid, 43, sejak bot pukat tunda, rawa sorong dan bubu naga menjalankan kegiatan menangkap ikan di situ, hasil laut di kawasan tersebut kian berkurangan.

image is not available
Amin Abdul Hamid

“Benih ikan, udang, ketam dan hidupan laut lain musnah akibat penggunaan peralatan dari bot tersebut.

“Jika perkara ini gagal ditangani, nelayan pantai mungkin terputus mata pencarian tidak lama lagi,” katanya. - Getaran 2 Mac 2022.