
Kota Kinabalu: Jabatan Siasatan Jenayah Anti Narkotik Sabah menahan dua individu berhubung rampasan lebih 10kg syabu bernilai RM396,000.
Ketuanya ACP Lam Thiam Huat berkata rampasan pertama dibuat pada 12.30 tengah hari Khamis selepas mereka menangkap seorang lelaki warga asing berusia 29 tahun membawa sebuah kotak coklat di tempat letak kereta di Cybercity, Kepayan.
“Hasil pemeriksaan, polis menemui empat paket mengandungi lebih 6kg syabu bernilai RM240,000 yang membawa kepada penemuan tiga paket syabu seberat lebih 3kg bernilai RM120,000 di sebuah pangsapuri di Penampang pada hari sama,” katanya ketika sidang media di sini, Rabu.
Lam berkata dalam operasi susulan Isnin lepas, polis merampas satu bungkusan mengandungi 10 paket syabu seberat lebih 1kg dianggarkan RM36,000 dari Pejabat Pos Tenom.
“Pada jam 7.30 malam pada hari yang sama, polis menahan seorang wanita berusia 28 tahun untuk membantu siasatan. Polis turut merampas beberapa aset termasuk sebuah kereta Toyota Vios, dua motosikal, rantai emas dan wang tunai yang kesemuanya bernilai hampir RM100,000,” katanya.
Beliau berkata dadah yang boleh digunakan oleh 50,000 penagih itu dipercayai dihantar menggunakan perkhidmatan kurier dari Semenanjung Malaysia untuk diedarkan di negara jiran.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
