
KUALA LUMPUR - Keyakinan ibu bapa untuk membawa anak mendapatkan vaksinasi di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) semakin meningkat apabila seramai 1,119,954 atau 31.5 peratus golongan itu menerima suntikan terbabit, setakat semalam.
Menurut laman sesawang COVIDNOW, jumlah itu yang membabitkan 22,177 dos, menyaksikan Sarawak merekodkan kadar vaksinasi kanak-kanak tertinggi dengan 61.7 peratus, disusuli Melaka 43.1 peratus, Pulau Pinang (41.1 peratus), Johor (38.3 peratus), Lembah Klang (37.8 peratus), Negeri Sembilan (34.6 peratus) dan Labuan (33.4 peratus).
Perak mencatatkan 32.9 peratus, Pahang (23.8 peratus), Perlis (22.4 peratus), Kedah (19.1 peratus), Sabah (18.4 peratus) dan Terengganu (10.1 peratus), manakala Kelantan menunjukkan vaksinasi terendah untuk golongan itu dengan kadar di bawah 10 peratus, iaitu 8.7 peratus.
Mensasarkan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, PICKids dimulakan pada 3 Februari lalu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara janji temu menerusi aplikasi MySejahtera.
Pengambilan vaksinasi itu diperluaskan secara ‘walk in’ bermula 1 Mac bagi memenuhi permintaan ibu bapa dan sebagai usaha menggalakkan pemberian imunisasi terbabit.
Berdasarkan laman sesawang sama, sejumlah 15,238,078 individu atau 64.8 peratus daripada populasi dewasa menerima dos penggalak COVID-19.
Seramai 22,933,696 atau 97.5 peratus daripada golongan itu pula, melengkapkan vaksinasi dan 23,210,290 atau 98.7 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, menjadikan keseluruhan dos bagi ketiga-tiganya adalah 61,173,306.
Mengikut statistik pengambilan vaksinasi dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,835,698 orang atau 91.1 peratus daripada populasi itu melengkapkan dos mereka, manakala 2,935,797 atau 94.3 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dengan jumlah keseluruhannya adalah 5,771,495 dos.
Seramai 58,326 dos vaksin diberikan kepada golongan itu dengan 23,938 dos pertama, diikuti 1,678 dos kedua dan 32,710 dos penggalak, semalam.
Angka itu menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin dikeluarkan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah 68,064,755. – Getaran, 12 Mac 2022
