Lima Tempat Menarik Di Perak

Travel
31 Mar 2022 • 9:00 AM MYT
Muhammad Khairul
Muhammad Khairul

An avid runner who loves to write about running and everything

image is not available

Bermula sahaja cuti sekolah, ramai ibu bapa akan membawa anak-anak mereka bercuti di tempat yang menarik yang terletak di seluruh negara. Negeri yang menjadi tumpuan sudah pastinya Melaka. Hal ini tidak hairan kerana Melaka memang banyak mempunyai tempat tarikan pengunjung atau pelancong. Cuma pada artikel kali ini saya ingin mengajak anda semua untuk menerokai negeri selain Melaka iaitu Negeri Perak. Jadi pada artikel ini saya akan senaraikan lima tempat yang menarik untuk anda kunjungi ketika berada di Perak.

Lumut

Sebut sahaja Lumut pasti semua orang akan tahu dan teringat akan pantai. Ya Lumut amat terkenal dengan keindahan pantai dan lautnya. Port yang paling seronok untuk mandi manda di sini sudah semestinya Teluk Batik dan juga Pulau Pangkor Dua port ini amat terkenal bagi pengunjung yang datang untuk bermandi-manda dan juga untuk berekreasi serta berkelah. Peringatan anda harus merancang waktu untuk anda mandi-manda di pantai kerana apabila air pasang ombak di sini agak tinggi serta air lautnya agak ganas. Selain pantai Lumut juga mempunyai beberapa tempat lain yang boleh dilawati. Antaranya ialah Pusat Ekologi Vale, iaitu sebuah pusat yang kaya dengan biodeversiti alam. Tempat ini sesuai untuk pencinta alam serta ibu bapa juga boleh membawa anak-anak datang ke sini untuk belajar serta menambahkan ilmu pengetahuan berkenaan alam semulajadi. Sambil bercuti sambil belajar.

Kellie Castle

Terletak di Batu Gajah daerah Kinta Perak, Kellie Castle ini adalah salah satu tarikan yang anda perlu kunjungi ketika berkunjung ke Perak. Istana yang dibina oleh William Kelllie Smith ini sebagai hadiah untuk isterinya kini telah menjadi satu tempat yang unik untuk dikunjungi. Ketika anda berkunjung ke sini anda akan dapat melihat tinggalan istana. Antara tinggalan yang masih ada ialah bilik tidur, ruang makan, ruang tamu, dan rumah pengawal. Anda juga boleh turun ke bawah istana ini untuk melihat bilik yang dikhaskan untuk menyimpan wain pada waktu tersebut. Di sini juga anda akan dapat melihat replika ruang tamu yang dibuat menyerupai ruang tamu asal. Selain itu, anda juga berpeluang melihat tempat yang sepatutnya menempatkan lif yang pertama di Tanah Melayu ketika itu. Di samping melawat, anda juga berpeluang membeli cenderamata dengan harga berpatutan serta boleh mengambil gambar kenang-kenangan ketika di situ.

Muzium Diraja

Dahulunya adalah tempat bersemayam sementara D.Y.M.M Sultan Iskandar Shah namun pada tahun 1986 ia dijadikan muzium Diraja. Terletak di Kuala Kangsar, bersebelahan dengan Istana Iskandariah muzium ini kini banyak menempatkan sejarah mengenai Sultan Perak. Anda sampai sahaja disitu anda akan terpegun melihat seni bina muzium ini. Seni bina muzium mempunyai unsur melayu yang kuat dengan corak-corak anyaman melayu, tambahan pula muzium ini dibina tanpa sebarang penggunaan paku besi. Di dalam pula anda boleh melihat pelbagai barang pameran. Antaranya alat kebesaran diraja, nobat dan juga artifak-artifak lama seperti suis lampu. Selain itu, anda juga dapat membaca info berkenaan Sultan Perak yang terdahulu serta dapat mempelajari sejarah hidup mereka.

Gua Tempurung

Jika anda seorang kaki outdoor suka melakukan aktiviti lasak, jangan lepaskan peluang anda untuk berkunjung ke Gua Tempurung. Terletak di Gopeng Ipoh gua yang mempunyai panjang lebih dari 3km ini amat sesuai dengan sesiapa yang menggemari aktiviti lasak. Di sini terdapat pelbagai aktiviti lasak yang anda boleh anda cuba. Aktiviti yang selalu dilakukan adalah menerokai gua itu sendiri. Anda akan merasai pengalaman berjalan di dalam keadaan gelap, berenang untuk melepasi halangan dan pelbagai lagi. Jadi pastikan anda membawa baju lebih ketika berkunjung disini. Di samping itu, anda juga akan dapat melihat keindahan semula jadi gua itu seperti stalagmites. Selain itu, ada juga aktiviti lain seperti white water rafting di sini. Bagi sesiapa yang tidak gemar akan aktiviti lasak anda juga boleh menikmati keindahan gua kerana ada disediakan pejalan kaki dan lampu yang terang bagi pengunjung yang datang untuk menikmati keindahan gua tempurung.

Kuala Sepetang

Kawasan yang terletak di Taiping ini adalah salah satu kawasan yang wajib dikunjungi ketika berada di Perak. Tarikan utama di sini ialah hutan paya bakau. Jika anda berada di sini anda boleh menikmati keindahan hutan paya bakau dengan lebih dekat. Anda akan berjalan dengan dikelilingi hutan paya bakau tersebut. Selain itu anda juga boleh menaiki bot yang disediakan dan pergi melawat ke kampung-kampung nelayan untuk menerokai serta melihat bagaimana mereka hidup. Ini boleh menjadi satu pengalaman baru untuk anda. Jika anda sudah puas berjalan jangan lupa untuk menikmati mee udang yang terkenal di Kuala Sepetang.

Akhir Kata

Jika anda seorang yang gemar berjalan, jangan lupa untuk melawati tempat yang dikongsikan dalam artikel ini. Selain dapat membantu meningkatkan ekonomi negara mungkin kita boleh mengambil teladan dan belajar menghargai sejarah negara kita sendiri.


Muhammad Khairul adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.