Armada kecam ahli Parlimen pembangkang tidak sokong usul Sosma

Politics
24 Mar 2022 • 7:37 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu mengecam tindakan Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang tidak menyokong usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Dewan Rakyat semalam.

Ketuanya Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa selain tidak menghormati Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang, pihak pembangkang masih mengutamakan perbezaan politik berbanding kepentingan rakyat.

“Ini bertentangan dengan amalan kebiasaannya iaitu semua pihak harus mengetepikan perbezaan peribadi atau politik dalam perkara-perkara yang melibatkan dasar keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Wan Ahmad Fayhsal berkata tindakan mereka hari ini juga jelas memperlekeh dan memperkotak-katikkan usaha kerajaan, khususnya Kementerian Dalam Negeri untuk mewujudkan satu persekitaran dan perimeter yang selamat.

Beliau berkata SOSMA merupakan salah satu instrumen pencegahan jenayah keganasan serta bertujuan memelihara kedaulatan negara.

Usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bagi tempoh lima tahun lagi yang dibentang Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, tidak diluluskan Dewan Rakyat hari ini setelah melalui undi belah bahagian, yang menyaksikan 84 Ahli Parlimen bersetuju manakala 86 lagi tidak bersetuju.-Bernama