
Kota Kinabalu: Bekas timbalan pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Teo Chee Kong bebas pada Khamis selepas Mahkamah Khas Rasuah mengumumkan perintah Dilepaskan Tanpa Dibebaskan (DNAA) sebelum ini dijadikan Dilepaskan dan Dibebaskan (D&A).
Hakim Abu Bakar Manat membuat keputusan itu semasa sebutan untuk mengemas kini status kes Teo pada Khamis.
“Berdasarkan perkembangan baharu kes dan pengesahan yang diberikan oleh pihak pendakwaan bahawa mereka tidak lagi mahu menjalankan pendakwaan dan tiada lagi siasatan terhadap tertuduh dan juga kerana tiada bantahan daripada pihak pendakwaan bahawa status DNAA diberikan oleh mahkamah pada 18 Feb dijadikan sebagai D&A, oleh itu mahkamah mengumumkan bahawa DNAA yang diperintahkan pada 18 Feb yang diberikan sebelum ini adalah Waran untuk Dilepaskan dan Dibebaskan.
“Oleh itu tertuduh, Teo Chee Kong kini diperintahkan oleh mahkamah ini Dilepas dan Dibebaskan daripada kesemua 146 pertuduhan,” kata Abu Bakar.
Teo pada 18 Feb lepas, diberi pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) daripada kesemua 146 pertuduhan pengubahan wang haram daripada aktiviti haram membabitkan jumlah RM32.9 juta tetapi SPRM kemudiannya mengenakan kompaun RM30 juta.
Terdahulu, ketua peguam bela Ram Singh, yang mewakili Teo, memberitahu mahkamah bahawa mereka telah memfailkan surat pada Rabu meminta sebutan Khamis untuk mengemas kini status kes Teo.
Ram berkata Teo telah menjelaskan sepenuhnya Notis Kompaun RM30 juta dalam tempoh yang ditetapkan untuk dia berbuat demikian.
Ram memberitahu mahkamah bahawa mereka juga telah menerima surat daripada pihak pendakwaan bertarikh 10 Mac, yang menyatakan bahawa pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan pendakwaan lanjut pertuduhan yang sama dan semua pertuduhan terhadap Teo dihentikan dan tiada tindakan lanjut diambil berhubung 146 pertuduhan terhadapnya.
Ram memberitahu Abu Bakar bahawa pihak pendakwaan semasa sebutan di Mahkamah Tinggi pada Rabu, pihak pendakwaan mengesahkan kepada mahkamah bahawa persetujuan pihak pembelaan mengenai Perlucutan Harta (FOP) berhubung tanah milik Teo dan juga akaun bank milik Teo dan anaknya serta semua sekatan lain yang berkaitan dengan harta dan aset di luar negara akan dibatalkan dan dilepaskan kepada Teo dan ahli keluarga.
Pihak pendakwaan mengesahkan di hadapan Mahkamah Tinggi bahawa semua perkara berkaitan pertuduhan dan hartanah di Malaysia, Singapura dan New Zealand dihentikan, kata Ram.
“Berdasarkan perkembangan terkini, kami memohon dan merekodkan supaya prosiding pada 18 Feb sebagai Dilepaskan Tanpa Dibebaskan (DNAA) kini dijadikan sebagai Dilepaskan dan Dibebaskan (D&A). Kami berharap Waran Pelepasan diberikan kepada tertuduh,” kata Ram.
Pihak pendakwaan mengesahkan kepada mahkamah bahawa kerajaan Malaysia telah menerima RM30 juta yang dibayar oleh Teo Chee Kong sebagai kompaun di bawah Seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Mahadi Jumaat, yang menjalankan pendakwaan bersama DPP Haresh Prakash Somiah, turut mengesahkan fakta berkaitan prosiding di Mahkamah Tinggi seperti yang disebut Ram.
“Kami juga mengesahkan bahawa pihak pendakwaan telah mengeluarkan satu surat kepada Teo bertarikh 10 Mac yang menyatakan kami tidak lagi ingin mendakwa Teo untuk pertuduhan yang sama dan kami tidak lagi akan menyiasat dan mengambil sebarang tindakan berkaitan hartanah milik Teo dan keluarganya di Malaysia, Singapura dan New Zealand,” kata DPP Mahadi.
Pihak pendakwaan tidak mengemukakan bantahan terhadap permintaan Ram untuk Dilepaskan & Dibebaskan (D&A) dan menyerahkannya kepada mahkamah.
Teo kelihatan lega ketika meninggalkan mahkamah selepas prosiding.
Teo berkata, dia ingin menjalani kehidupan seperti biasa bersama keluarganya yang sangat terkesan, selepas lima tahun enam bulan mengalami kesukaran dan tekanan terhadapnya dan keluarganya.
Sementara itu, menurut Ram, Mahkamah Tinggi pada Rabu memerintahkan FOP ke atas tanah kerana berdasarkan persetujuan daripada kedua-dua pihak pendakwaan dan peguambela, permohonan berkaitan tanah milik Teo telah ditarik balik, manakala bagi hartanah di luar negara yang dibenar perintah sekatan pada 19 Okt 2017 dan 13 Dis 2017, dibatalkan berkuat kuasa serta-merta.
Bagi FOP terhadap akaun bank, perintah sama dibuat bahawa memandangkan representasi Teo telah diterima oleh Jabatan Peguam Negara, dan kes itu ditarik balik, tambah Ram.
Teo, 57, pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 13 Disember 2017 di mana dia mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan di mana 78 pertuduhan menyatakan Teo didakwa memiliki 70 geran tanah daripada aktiviti haram melalui 78 transaksi bernilai RM12,705,203.70 selepas pemindahan hak milik.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 21 Okt 2005 dan 19 Ogos 2014 di lokasi berasingan di Pejabat Tanah di Beaufort, Kota Kinabalu, Penampang, Sipitang, Papar dan Jabatan Tanah dan Ukur di sini.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Baki 68 pertuduhan terhadap Teo menyatakan dia didakwa melakukan enam kesalahan memiliki wang tunai berjumlah RM7,930,810.48 (RM5,952,050 dan kira-kira RM1,978,760.4a8 dalam mata wang asing) daripada aktiviti haram dan 62 kesalahan memiliki wang dalam akaun bank berjumlah RM12,287,240.07 daripada aktiviti haram di lapan institusi kewangan di sini dan di Kuala Lumpur.
Kesalahan itu didakwa berlaku antara 4 Okt 2016 dan 30 Dis 2016.
Setiap pertuduhan di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang atau instrumen sesuatu kesalahan pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bersama Ram ialah peguam Kimberly Ye dan Chen Wen Jye.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

