Bolehkah Kuala Lumpur Atasi Masalah Banjir Dalam Masa Terdekat?

Opinion
14 Mar 2022 • 12:00 PM MYT
Saya Zuan
Saya Zuan

An avid toy collector who enjoys making videos, writing and travelling.

Image from: Bolehkah Kuala Lumpur Atasi Masalah Banjir Dalam Masa Terdekat?

Kebelakangan ini, kalau nampak cuaca mendung, saya rasa tak sedap hati je sebab risau kalau hujan lebat berpanjangan. Jangan salah sangka, saya memang bersyukur kalau hujan sebab maklumlah, saya bekerja jadi kadang kala tak sempat nak siram pokok bunga kat rumah sampai layu dibuatnya. Kalau hujan turun waktu malam lagilah saya sangat bersyukur, sekurang-kurangnya rasa sejuk dan nyaman bila nak tidur. Tapi, tatkala hujan lebat berpanjangan, saya rasa gemuruh. Lebih-lebih lagi bila disertai guruh dan kilat sabung menyabung.

Di Kuala Lumpur ni kalau hujan lebat berpanjangan, memang kita takkan dapat lari daripada masalah banjir kilat. Walaupun Terowong SMART digunakan untuk menyalurkan lebihan air keluar daripada kawasan utama Kuala Lumpur, kawasan sekitar Lembah Klang tetap juga akan dilanda masalah banjir kilat.

Minggu lepas tular beberapa video dan gambar banjir kilat di sekitar Jalan Kuchai Lama, Bukit Jalil, Wisma UOA 2 dan beberapa tempat lain. Walaupun saya sekadar melihat rakaman video dan gambar kawasan-kawasan yang dinaiki air tersebut, terdapat banyak kerugian yang terpaksa ditanggung rakyat disebabkan hujan lebat yang berlangsung selama 3 jam itu. Saya dapat bayangkan rasa sedih dan tertekan apabila melihat harta benda seperti kereta dinaiki air di depan mata namun tiada apa yang dapat dilakukan.

Sumber: Twitter

Sebenarnya, saya rasa sangat geram dengan perkara ini. Ini bukan pertama kali Kuala Lumpur dinaiki air disebabkan jumlah air hujan yang tinggi sehingga menyebabkan kerugian harta benda. Sebelum ini pun pernah berlaku banjir di kawasan parkir berhampiran Wisma UOA 2 tersebut. Kita tak boleh nak salahkan orang yang letak kereta di situ. Dah mereka bekerja di kawasan tersebut — kawasan yang dikelilingi bangunan-bangunan tinggi dan pejabat-pejabat.

Persoalannya, apakah tindakan yang wajar diambil dengan segera? Dah berapa lama masalah banjir kilat di Kuala Lumpur ni. Berapa lama lagi perlu pakar-pakar mengkaji isu banjir kilat sampai dah tahun 2022?

Sumber: MalaysiaKini

Benarkah seperti kata Menteri Wilayah Persekutuan bahawa dakwaan seperti “sistem perparitan tersumbat” dan “kolam takungan tidak berfungsi” bukan punca Lembah Klang menghadapi masalah banjir kilat? Di Malaysia ni (bukan sahaja di Kuala Lumpur), memang ada masalah pembuangan sampah merata-rata. Ini saya sendiri tak dapat nafikan. Kadang-kadang di kawasan shopping mall yang gah pun ada longgokan sampah yang busuk dan dihurung langau.

Mungkin ada di antara kita yang menjaga kebersihan dan tak tergamak nak buang sampah merata-rata tapi ada juga peratusan tinggi masyarakat yang mempunyai tabiat buruk tak kisah membuang sampah merata-rata, termasuk di dalam longkang atau sungai. Mentaliti “takpe, ada orang yang akan kutip nanti” yang akhirnya menyebabkan masalah besar kepada kita sendiri.

Cuma saya tertanya-tanya, adakah “sistem perparitan yang elok” dan “kolam takungan yang berfungsi” sahaja sudah cukup memadai untuk menampung jumlah air hujan yang tinggi di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang? Adakah rangka kerja ini boleh bertahan dengan perubahan cuaca di masa akan datang atau adakah Kuala Lumpur akan mengalami fenomena “bandar tenggelam” seperti Jakarta tidak lama lagi?


Saya Zuan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.