Brek rosak, bas langgar tiang elektrik

18 Mar 2022 • 12:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

NILAI - Sebuah bas ekspres dua tingkat hilang kawalan dan melanggar tiang elektrik selepas mengalami masalah brek di persimpangan lampu isyarat Jalan Persiaran Pusat Bandar di sini pada Jumaat.

Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, ketika kejadian bas berkenaan dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu menghala ke Nilai.

"Bas itu dipandu oleh seorang lelaki berusia 39 tahun. Ketika kejadian, terdapat seorang lagi pemandu kedua dan empat orang penumpang.

"Namun sebaik tiba di lokasi, bas dipandu mengalami masalah brek menyebabkan hilang kawalan dan terbabas melanggar tiang elektrik yang berada di laluan bertentangan," katanya kepada media pada Jumaat.

Menurutnya, kemalangan itu mengakibatkan pemandu bas tersebut cedera ringan di kaki, manakala lima lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).