
Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini secara rasmi terdiri Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) tanpa penyertaan Barisan Nasional (BN) dan PAS.
BN Sabah terdiri daripada Umno, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor berkata BN hanya akan menjadi rakan kerjasama gabungan politik itu dalam mentadbir kerajaan Sabah, manakala kerjasama dengan PAS adalah melalui Perikatan Nasional (PN).
“Jadi kita berharap dengan gabungan ini, satu kestabilan politik Sabah akan dapat kita harapkan untuk kepentingan perpaduan dan kerjasama parti yang ada,” kata Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah pada sidang media di sini pada Jumaat.
Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Penaja GRS, yang turut dihadiri Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Presiden Star Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee.
Ahad lepas (13 Mac), Hajiji dilaporkan berkata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan pendaftaran GRS sebagai badan gabungan parti politik rasmi di negeri itu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 (26 Sept 2020), GRS yang ketika itu bukan gabungan rasmi, membentuk kerajaan Sabah setelah menguasai 38 kerusi Dewan Undangan Negeri apabila PN memenangi 17 kerusi (Bersatu 11 kerusi dan Star 6 kerusi), BN (14 kerusi) dan PBS (7 kerusi).
Pada 9 Jan tahun lepas, parti yang membentuk GRS itu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mengekalkan kerjasama selain menolak campur tangan luar yang cuba menggugat gabungan tersebut.
Sementara itu, Hajiji berkata semua parti komponen GRS akan menggunakan logo dan bendera rasmi gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Mengulas mengenai parti yang berhasrat menyertai GRS, beliau berkata sebuah jawatankuasa dibentuk bagi menilai permohonan parti lain untuk bersama-sama GRS, antaranya Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) yang membuat permohonan itu sejak tahun lepas.
Ditanya mengenai impak situasi politik di Semenanjung kepada Sabah, Hajiji berkata perkembangan yang berlaku di Semenanjung terutama ketika PRN Melaka dan PRN Johor baru-baru ini, dilihat tidak memberi impak besar kepada politik Sabah.
“Politik ini ada macam-macam kemungkinan, saya melihat apa berlaku di Semenanjung, di Melaka dan Johor, saya fikir tidak sama dengan keadaan politik di Sabah,” katanya yang turut mengumumkan barisan Majlis Tertinggi GRS pada Jumaat.
Majlis Tertinggi terdiri daripada Hajiji selaku Pengerusi, dengan Timbalan Pengerusi disandang oleh Maximus, Jeffrey dan Yong.
Setiausaha Agung Datuk Seri Masidi Manjun, Ketua Penerangan Datuk Joniston Bangkuai dan Bendahari Agung Ardino Diris.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
