Hampir 8,000 peniaga sertai program PLATS, perluas rangkaian jualan secara maya

18 Mar 2022 • 7:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 18 MAC: Seramai 7,742 peniaga berdaftar dalam Platform Selangor (PLATS) sehingga 31 Disember tahun lalu, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkembangan itu hasil usaha pasukan Rakan Digital Selangor yang dilantik untuk turun ke lapangan bagi menggalakkan penglibatan golongan terbabit.

“PLATS adalah sebuah platform promosi dan direktori digital yang dibangunkan bukan hanya kepada peniaga pada Ramadan tetapi sepanjang masa pengoperasiannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Amirudin berkata platform tersebut diperkenal bagi membantu meningkatkan ekonomi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya penjaja serta peruncit negeri ini.

“Inisiatif digitalisasi adalah solusi kepada permasalahan ini dan kita menyediakan platform khas buat peniaga untuk meneruskan perniagaan mereka serta memperluaskan rangkaian jualan,” katanya.

Pada 11 April tahun lalu, PLATS 2.0 dilancarkan bagi membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang masa, tidak terhad ketika bulan puasa sahaja.

Mula diperkenal Ramadan 2020, platform itu berupaya melengkapkan ekosistem agenda pendigitalan Selangor membabitkan usahawan melalui satu medium digital.