JPNS sasar 300,000 benih ikan, udang dilepaskan ke perairan tahun ini

24 Mar 2022 • 2:13 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

REMBAU: Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS) menyasarkan 300,000 benih ikan pelbagai spesies dan udang dilepaskan di perairan negeri pada tahun ini membabitkan kos kira-kira RM50,000.

Pengarahnya Kasim Tawe berkata langkah itu bertujuan melestarikan alam sekitar dan memelihara biodiversiti perikanan darat, sekali gus memberi kesedaran kepada masyarakat kepentingan memulihara ekosistem itu untuk generasi kini dan akan datang.

“Bergantung kalau ada benih lebih dari pusat akuakultur kami akan lepaskan lebih banyak pada tahun ini, tahun lepas kami dapat lepaskan lebih 300,000 benih termasuk ikan lampam sungai dan baung. Setakat tahun ini, 65,000 ikan dah dilepaskan ke perairan Jelebu dan Rembau.

“Benih ikan berkenaan diperoleh dari pusat akuakultur perikanan di Pahang dan dibeli dari pusat penetasan berdaftar dengan JPNS. Selain memulihara spesies hidupan air tersebut, ia juga dapat meningkatkan sosioekonomi nelayan tempatan,” katanya kepada pemberita selepas program pelepasan benih ikan serentak seluruh negara di sini, hari ini.

Beliau berkata JPNS akan terus melaksanakan program seumpama itu secara berterusan melalui hasil kajian inventori ikan terutama di tiga sungai iaitu Sungai Muar di Tampin, Sungai Kenaboi (Jelebu) dan Sungai Rembau (Rembau) bertujuan memastikan stok ikan sentiasa berterusan di negeri ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai menggunakan peralatan menangkap ikan yang betul dan mesra alam bagi mengelakkan sebarang kemusnahan habitat serta sumber perikanan, selain kaedah menangkap ikan seperti menuba atau mengebom tidak dibenarkan.

Sempena program tersebut, turut diadakan kempen makan ikan air tawar dengan memperkenalkan produk popcorn fish dan demonstrasi membuat kerabu latok.

Dalam perkembangan lain, Kasim berkata pihaknya sudah menghantar maklumat berhubung seekor bangkai penyu agar betina yang ditemukan terapung oleh nelayan di perairan Port Dickson pada 22 Mac lepas, ke pusat penyu di Terengganu untuk rekod dan kajian.

“Tiada kesan kritikal dijumpai pada luaran badan penyu berusia dua tahun seberat dua kilogram itu dan disyaki telah mati dua ke tiga hari sebelum itu berikutan bangkai yang masih belum mereput,” katanya menambah empat ekor penyu ditemukan mati terdampar di perairan Port Dickson setakat ini.-Bernama