Penjara untuk PTI miliki kad pengenalan palsu

17 Mar 2022 • 1:08 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Seorang penganggur rakyat Filipina dihukum penjara 17 bulan oleh Mahkamah Majistret kerana memiliki kad pengenalan palsu.

Jeffri Raja Hinggu, 54, mengaku bersalah di hadapan Majistret Lovely atas tuduhan memiliki dokumen itu di bawah nama Zulkifli Safri pukul 10.15 malam pada 16 November, 2021 di dataran Oceanus Waterfront.

Inspektor Kelvan Elson Maik, yang mendakwa, memberitahu mahkamah Jeffri ditahan oleh anggota polis yang meronda kerana berkelakuan mencurigakan dan menunjukkan kad pengenalan sebagai dokumen pengenalan diri ketika diminta.

Bagaimanapun, semakan pada Sistem Laporan Polis Bersepadu (iPRS) mendapati gambar dalam sistem itu tidak sepadan dengan gambar dalam kad yang ditunjukkan oleh Jeffri, mahkamah diberitahu.

Jeffri kemudian mengaku bahawa ia adalah kad pengenalan palsu dan mendedahkan nama sebenarnya sebagai Jeffri Raja Hinggu dan dia tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah untuk tinggal di negeri ini, kata Kelvan.

Tidak diwakili, Jeffri merayu hukuman ringan manakala pendakwaan memohon hukuman setimpal.

Jeffri diperintahkan menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap dan diperintah untuk dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas itu.

Dia didakwa di bawah Peraturan 25 (1) (e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki berumur 55 tahun didenda RM3,500 atau 12 bulan penjara kerana secara tidak jujur menyembunyikan RM1,700 milik seorang wanita.

Placidus Dalus mengaku secara tidak jujur menyembunyikan wang milik Petronilla Lim dalam akaun banknya pukul 7.55 petang pada 2 April, 2021 di sebuah unit di Country Heights Apartments, Penampang.

Pertuduhan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah diberitahu oleh pendakwaan bahawa siasatan polis mendedahkan akaun bank Placidus digunakan dalam penipuan pembelian telefon bimbit yang tidak wujud melalui laman Instagram sehingga menyebabkan pengadu mengalami kerugian RM1,700.

Placidus, yang tidak diwakili, memohon hukuman denda kerana dia juga menjadi mangsa dalam aktiviti penipuan itu yang dijadikannya sebagai satu pengajaran dan dia merupakan pencari nafkah tunggal untuk keluarganya.

Kelvan memohon hukuman setimpal.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.