Ramadan Bakal Menjelma. Apakah Perkara Yang Patut Dielakkan Di Bulan Ramadan?

24 Mar 2022 • 9:00 PM MYT
Saya Zuan
Saya Zuan

An avid toy collector who enjoys making videos, writing and travelling.

Sumber: Muslim Aid

Bulan Ramadan bulan yang mulia. Terdapat banyak hadith Rasulullah s.a.w. yang berkaitan dengan Ramadan dan manfaat-manfaat bulan ini kepada umat Islam. Salah satu daripadanya berbunyi seperti berikut:

Lalu, diriwayatkan dari Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda:

“Siapapun yang menjalankan puasa selama Ramadan karena keyakinan yang ikhlas dan berharap mendapatkan pahala dari Allah, maka semua dosanya di masa lalu akan diampuni,” (Hadis Riwayat Bukhari Muslim)

Disebabkan perkara ini, ramai umat Islam seluruh dunia ternanti-nantikan bulan syafaat ini setiap tahun untuk melakukan ibadah dan mengumpul pahala sebanyak mungkin. Namun, tahukah anda apa perkara-perkara yang harus anda elakkan menjelang kemasukan bulan Ramadan dan apabila berada dalam bulan Ramadan?

Jangan memasuki bulan Ramadan dengan hati yang kotor

Menjelang Ramadan, buang perasaan hasad dengki, dendam atau bermusuhan dan bersihkan hati anda. Paling baik ialah memohon maaf dan memaafi sebelum Ramadan supaya bulan Ramadan anda dan ibadah anda dapat dilaksanakan dengan baik. Kita ingin kecapi ibadah yang berkualiti pada bulan yang mulia ini.

Dari Abu Darda’ Radliyallaahu ‘anhu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesungguhnya Allah murka kepada orang yang berperangai jahat dan berkata keji.”

dan dari Ibnu Mas’ud Radliyallaahu ‘anhu pula, Rasulullah bersabda:

“Bukanlah seorang mukmin jika suka mencela, melaknat dan berkata-kata keji.” (Hadith Riwayat Tirmidzi)

Sengaja meninggalkan sahur atau iftar terlalu awal

Sahur adalah sunnah muakkat iaitu walaupun ia tidak diwajibkan, ia amat digalakkan. Malah sahur adalah perbezaan diantara puasa orang Islam dan orang Yahudi.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Bersahurlah, kerana sesungguhnya pada sahur (makanan) itu ada keberkatan.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jangan tidur berlebihan

Tidur di waktu siang yang berlebihan adalah amat tidak digalakkan. Sekiranya tidur sekejap sebelum masuk waktu Zohor (Qailullah) maka tidak mengapa kerana sunnah ini dilakukan bagi mereka yang sering melakukan Qiamullail. Namun, tidur di waktu siang untuk jangkamasa lama di bulan Ramadan dipanggil ibadah yang lemah. Bulan Ramadan adalah bulan untuk memperbanyakkan ibadah dan bukan membazir masa dengan tidur.

Jangan melambatkan iftar

Rasulullah s.a.w. menyuruh umatnya untuk mempercepatkan iftar (iaitu apabila azan Maghrib berkumandang) dan jangan sengaja dilengah-lengahkan waktu berbuka itu.

Daripada Sahl bin Sa’ad RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

“Manusia itu akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagimana mereka mempercepatkan berbuka puasa”. (Riwayat al-Bukhari (1957) dan Muslim (1098))

Berhati-hati ketika berkumur atau menyedut air ke rongga hidung sewaktu mengambil wudhu di bulan Ramadan

Dalam hal berkumur pada bulan Ramadan, terdapat panduan daripada Rasulullah s.a.w.:

“Sempurnakanlah wudhu, selatilah antara jari-jari dan bersungguh-sungguhlah dalam menghisap air ke dalam hidung kecuali ketika berpuasa.” (Riwayat al-Tirmizi, no. 788)

Menurut hadith di atas, Rasulullah s.a.w. mengesyorkan untuk mengambil wudhu dengan bersungguh-sungguh termasuk berkumur dan menyedut air ke rongga hidung kecuali ketika berpuasa dan di bulan Ramadan.

Sekiranya anda perlu berkumur kerana ada masalah mulut, kumur sahaja di bahagian luar dan tidak sehingga ke anak tekak. Sekiranya terlalu dalam, ia boleh membatalkan puasa.

Lebihkan berdoa ketika berpuasa

Ketika kita berpuasa walaupun bukan di bulan Ramadan, kita patut lebihkan berdoa, berselawat dań beristighfar — inikan pula di bulan Ramadan. Luangkan masa yang ada dengan berdoa, berselawat dan beristighfar supaya tidak kerugian di bulan Ramadan. Gunakanlah masa ini untuk memohon keampunan kerana sesungguhnya Allah s.w.t. akan memakbulkan doa orang-orang yang memohon dengan ikhlas kepadaNya.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda :

“Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, mereka yang berpuasa sehingga berbuka dan doa orang-orang yang dizalimi.” (Hadith Riwayat At-Tirmizi)

Lebihkan solat berjemaah, terutamanya solat Subuh

Luangkan masa di bulan Ramadan ini untuk melakukan ibadah terutamanya solat Subuh berjemaah sama ada di masjid ataupun dengan ahi keluarga. Kadang kala, kita lebih banyak melaksanakan solat sunat seperti terawih sedangkan solat fardhu lebih afdhal untuk melakukan jemaah bersama-sama.

Rasulullah bersabda:

“Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadhan ke Ramadhan, adalah penghapus dosa-dosa yang terjadi di antara waktu tersebut jika dijauhi dosa-dosa besar.” (Hadith Riwayat Muslim r.a.)

***

Ada lagi beberapa perkara lain yang patut dielakkan ketika Ramadan. Anda boleh baca lagi disini dan disini.


Saya Zuan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.