Terima Kasih Media - Ahmad Zahid

Politics
13 Mar 2022 • 1:18 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ahmad Zahid bergambar bersama penyokong BN selepas BN berjaya menubuhkan kerajaan di Johor. - Gambar Alif Omar

KUALA LUMPUR – “Terima kasih rakan media yang sudah membantu kejayaan Barisan Nasional (BN) di Johor, sekadar tepukan biasa tidak cukup untuk mereka,” kata pengerusi parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau mengucapkan penghargaan itu kepada petugas media ketika sidang media menerusi penstriman langsung selepas pengumuman kemenangan parti itu pada PRN Johor, malam ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Pengerusi BN Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan beberapa pemimpin kanan parti berkenaan.

“Terima kasih juga rakan media sosial yang membantu,” katanya.

image is not available
Ahmad Zahid merakamkan penghargaan kepada Najib (tengah) yang turun berkempen pada PRN Johor ini. - Gambar Azim Abd Rahman

Ahmad Zahid juga mengambil kesempatan itu untuk mengucapkan terima kasih kepada ‘pengurus kempen’ BN, Datuk Seri Najib Razak yang sanggup turun padang sepanjang kempen pilihan raya terbabit.

“Walaupun beliau (Najib) diasak bertubi-tubi, difitnah setinggi gunung, dikata dan dihina seluruh negara, tetapi semangat beliau tetap kental, kukuh.

“Beliau bukan sahaja tahan diuji, malah mempunyai ketahanan luar biasa, mudah-mudahan juga kemenangan besar ini turut menjadi hadiah untuk ‘bossku’,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh mengumumkan, BN memenangi 29 daripada 56 kerusi diperuntukkan pada PRN Johor, setakat jam 11.05 malam ini.

Keputusan itu membolehkan BN memperoleh majoriti melebihi 50 peratus daripada kerusi dipertandingkan.

PRN Johor menyaksikan seramai 2,599,797 pemilih keluar mengundi di 1,021 pusat mengundi, membabitkan 4,638 saluran di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Seramai 239 calon, iaitu 202 lelaki dan 37 wanita daripada 11 parti politik dan Bebas berentap untuk merebut kerusi DUN ditandingi. – Getaran, 12 Mac 2022