Instagram mula lancarkan kapsyen automatik pada video, sejauh mana keberkesanannya?

Digital
2 Mar 2022 • 5:55 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Instagram lancarkan satu ciri baru yang bakal memudahkan penonton memahami kandungan video tanpa perlu mendengarnya. Ciri itu ialah kapsyen yang dijana secara automatik pada video yang dimuat naik di Feed. Ia akan dihidupkan secara lalai untuk pencipta kandungan. Tapi pencipta kandungan boleh matikannya jika tidak mahu kapsyen dipaparkan di dalam video.

image is not available

Dalam masa yang sama, penonton juga diberi pilihan untuk hidup atau matikan ciri ini ketika sedang menonton video yang dikongsikan oleh seseorang. Buat masa ini, kapsyen di Instagram dilancarkan dalam 17 bahasa, ialah bahasa Melayu, Inggeris, Sepanyol, Portugis, Perancis, Arab, Vietnam, Itali, Jerman, Turki, Rusia, Thai, Tagalog, Urdu, Hindi, Indonesia dan Jepun. Menurut Instagram, sokongan untuk lebih banyak bahasa akan datang tidak lama lagi.

Ciri ini nampaknya bakal menjadikan video di Instagram mudah difahami oleh semua pengguna yang mengalami masalah pendengaran atau pekak. Malah, ia juga dapat bantu pengguna yang berada di lokasi bising untuk memahami video yang sedang ditonton.

Untuk melihat keberkesanan ciri ini, saya sudah memuat naik 2 video di Instagram, masing-masing dengan audio bahasa Inggeris dan Melayu. Tapi, tiada kapsyen yang muncul pada skrin, walhal saya sudah pun hidupkan ciri ini di bahagian Accessibility. Mungkin kerana ia masih baru, maka AI tidak dapat mengesan lagi bahasa serta perkataan yang disebutkan di dalam video.

Jika anda perasan, ciri kapsyen automatik ini sudah lama ada di video YouTube. Saya sangat suka gunakan ciri ini apabila menonton video berbahasa Inggeris. Adakalanya, loghat Bahasa Inggeris yang digunakan di dalam video susah untuk difahami. Maka, ciri ini menjadi penyelamatnya. Selain itu, Tiktok juga ada perkenalkan ciri ini pada awal tahun lalu. Mungkin kerana Instagram baru menyedari keperluan ciri ini dalam kalangan pengguna, maka mereka pun mula melancarkannya.

[Sumber: Techcrunch, TheVerge]