'Saya Amat Sedih Hanya 30 Peratus Kanak-Kanak Divaksin' - Khairy

9 Mar 2022 • 4:29 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Keadaan lengang di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sekolah Kebangsaan Sg Lada, Labuan, pada program PICKids, 18 Februari lalu. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR - Peratusan vaksinasi melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) sangat rendah, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Khairy pada satu sidang media khas di Parlimen hari ini, turut melahirkan rasa sedih apabila setakat semalam, hanya 30 peratus kanak-kanak berusia lima tahun hingga 11 tahun mendapatkan suntikan vaksin itu.

Ujarnya, lebih membimbangkan apabila kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat.

“Saya berasa amat sedih kerana vaksinasi untuk kanak-kanak ini masih rendah.

“Setakat ini, hanya 30 peratus kanak-kanak mendapatkan pelalian itu sedangkan kes semakin meningkat. Masa tunggu dan lihat ini sudah tamat,” katanya.

Khairy menegaskan, sehingga kini, ibu bapa masih belum  membuat pilihan untuk memberikan vaksinasi kepada anak mereka.

Semalam, Khairy dilaporkan berkata, ibu bapa seolah-olah berhadapan dengan ‘mental blok’ sehingga enggan membenarkan anak divaksin biarpun selepas diberikan penerangan mengenai kepentingan imunisasi berkenaan dalam memberi perlindungan.

Katanya, pihak KKM berdepan cabaran bagi menggalakkan kanak-kanak berusia lima tahun hingga 11 tahun mengambil vaksin kerana tidak mendapat kebenaran ibu bapa.

Beliau berkata, ibu bapa tidak perlu mengambil pendekatan tunggu dan lihat kerana sudah sebulan program PICKids dilaksanakan dan tiada kesan sampingan serius dilaporkan.

Jelasnya, semakin ramai kanak-kanak dijangkiti dan dimasukkan ke hospital akibat COVID-19.

Malah, katanya, ada antara mereka yang mengalami sindrom keradangan pelbagai sistem dalam kanak–kanak (MISC) dan ia membawa kemudaratan jangka masa panjang. - Getaran, 9 Mac 2022.