
KUALA LUMPUR: Sebanyak 22,326 kes Covid-19 atau 99.27 peratus daripada jumlah keseluruhan 22,491 kes positif harian dilaporkan semalam, dalam kategori satu dan dua, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata kurang satu peratus iaitu 0.73 peratus atau sebanyak 165 kes Covid-19 yang dilaporkan semalam dalam kategori tiga, empat dan lima.
“Kes Covid-19 kategori satu yang dilaporkan semalam adalah sebanyak 10,601 kes sementara kes kategori dua 11,725 kes.
“Sebanyak 71 kes atau 0.31 peratus dalam kategori tiga, 44 kes (0.20 peratus) dalam kategori empat dan 50 kes (0.22 peratus) dalam kategori lima,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Dr Noor Hisham tiada kluster baharu Covid-19 dilaporkan semalam dan sebanyak 273 kluster didapati masih aktif setakat ini.
Beliau berkata kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau nilai Rt di seluruh negara yang dicatatkan semalam adalah 0.90 dengan Selangor merekodkan kadar tertinggi iaitu 1.03 manakala kadar paling rendah dicatatkan di Sabah iaitu 0.64.
Katanya lima negeri mencatatkan penggunaan katil kes kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU) melebihi 50 peratus dengan yang tertinggi ialah Putrajaya pada tahap 100 peratus.
Empat lagi negeri mencatatkan penggunaan katil kes kritikal atau ICU melebihi 50 peratus ialah Kuala Lumpur (67 peratus), Johor (59 peratus), Selangor (57 peratus) dan Kelantan (52 peratus).-Bernama

