Beberapa laluan sekitar ibu negara dinaiki air petang ini

8 Mar 2022 • 7:11 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengesahkan enam laluan di sekitar ibu negara dinaiki air susulan hujan sejak 4 petang tadi.

Agensi itu menerusi hantaran di Facebook memaklumkan enam laluan tersebut melibatkan jalan Cheras di hadapan Eco Cheras Mall (dari arah Kajang menghala pusat bandar), Jalan Pudu, bulatan Hishamuddin menghala ke susur Masjid Negara, Jalan Yacoob Latif, Jalan Tun Razak dan Jalan Kinabalu.

Keadaan tersebut menyebabkan aliran trafik perlahan dengan paras air di kawasan tersebut ada yang mencecah ke paras lutut dan buku lali, namun masih boleh dilalui kenderaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan dan Semenyih bersama dua bot diatur gerak ke Hulu Langat bagi memantau kawasan tersebut yang mula dinaiki air sejak 4 petang.

Menurutnya, empat lokasi dikenal pasti dinaiki air ialah Sri Nanding, Taman Murni, Batu 11 dan Sungai Serai di Hulu Langat.

“Dua bot bantuan dari BBP Sungai Pinang dan Andalas juga digerakkan ke lokasi kejadian dan setakat ini tiada operasi pemindahan mangsa,” katanya dalam kenyataan.-Bernama